Kuala Lumpur, kota segala cerita


Meor Yusof Aziddin

Bak kata M.Nasir, “sesat di Kuala Lumpur, dosa dan pahala bercampur, tapi kita perlu hidup… kita perlu terus hidup!”

KEBANYAKAN anak muda dari kampung biasanya punya satu impian, berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka biasanya tidak punya cita-cita ke bandar lain untuk cari makan, seperti Ipoh, Johor Bahru, atau bandar-bandar lain melainkan Kuala Lumpur.

Saya antara mereka yang punya impian untuk ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita untuk menjadi pemuzik.

Hebat sangatkah Kuala Lumpur di mata anak muda yang tidak punya kelulusan melainkan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia?

Bukankah lebih baik mereka tinggal di kampung, mengerjakan tanah dan bendang atau kerja-kerja kampung lainnya?

Saya ke Kuala Lumpur pada tahun 80-an, waktu itu Pasar Seni baru sahaja dibuka. Pertama Kompleks, bangunan Dayabumi, Ampang Park memang popular pada waktu itu di kalangan anak-anak muda yang kebanyakannya datang dari kampung dengan sejuta impian.

Lama di kota ini, segala impian kita tidaklah seindah dan semudah yang dirancang. Kuala Lumpur mana ada perasaan?

Kalau jatuh, memang kita akan tersungkur dan tidak akan ada orang yang akan sambut kita. Untuk itu kita perlu keras!

Berapa ramai kawan saya yang tersungkur di Kuala Lumpur. Hitam putih semuanya ada di sini. Kota ini tidak menjanjikan bulan bintang untuk kita. Kalau malas kita akan tertinggal.

Hari ini Kuala Lumpur memang pesat membangun. Setiap inci tanah adalah emas. Berduyun-duyun para warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal datang ke negara kita ini untuk cari makan.

Segala-galanya perlukan duit dan segala-galanya mahal di sini. Berpendapatan RM5,000 masih dalam kategori warga miskin bandar. Rumah sewa RM800, kalau nak lebih selesa sewanya akan lebih mahal. Duit kereta, dan segala macam bil dan perbelanjaan anak sekolah?

Takkan kita nak berjimat seperti para warga asing yang bekerja di sini?

Mereka di sini fokus untuk cari duit untuk dihantar ke kampung mereka. Memang mereka mampu menyimpan duit dan menghantar sebahagian besar pendapatan ke kampung.

Sebuah rumah dikongsi hingga 10 orang. Segala perbelanjaan dikongsi untuk menjimatkan kos sara hidup. Overhead memang rendah.

Semenjak kita menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, sampailah ke hari ini, kita masih bergelut di Kuala Lumpur, demi untuk terus hidup. Adakah kita punya pilihan yang lebih baik dari apa yang kita miliki hari ini?

Memang ada yang lepas, tapi tak ramai. Umpama penyanyi mahupun pelakon. Kita punya ramai penyanyi juga pelakon, tapi yang konsisten dan berjaya itu tidak ramai.

Jika diberi pilihan, mahukah kita pulang dan mulakan hidup baru di kampung halaman kita?

Seperti kata kawan saya yang sudah bekerja hampir 30 tahun di Kuala Lumpur, hidup lama-lama di kota pun masih tidak kaya-kaya, melainkan setakat boleh hidup walau suami isteri bekerja.

Adiknya yang tinggal di kampung walaupun bergaji kecil, lebih selesa hidupnya berbanding kawan saya itu.

Inilah kenyataannya. Tetapi kita yang tinggal di kota akan tetap memilih kota kerana cabarannya.

Kuala Lumpur memang kota segala cerita. Hitam putih memang ada di sini. Mungkin kita berjaya, mungkin kita akan gagal. Itulah nasib. – 6 September, 2017.

 


 

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen