ECRL bawa pembangunan, peluang perniagaan, kata penduduk Bentong


Andrew Chin

Selepas kerajaan berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin boleh diteruskan pada skala yang lebih kecil, penduduk di Bentong berharap ia jadi kenyataan agar bandar itu dapat dibangunkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

SELEPAS kerajaan berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin boleh diteruskan pada skala yang lebih kecil, penduduk di Bentong berharap ia jadi kenyataan agar bandar lesu itu dapat dibangunkan.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Bentong Yap Yoke Kim berkata pasaran hartanah tempatan antara yang akan mendapat manfaat besar jika ECRL diteruskan.

“Terus terang saya cakap, apabila ECRL sampai di Bentong, manfaat ekonomi sangat kecil kerana peralatan dan tenaga kerja sebahagian besarnya diimport dari China, dan tak menyumbang kepada ekonomi tempatan.

“Tetapi nilai hartanah tempatan naik mendadak,” kata Yap.

Beliau memberitahu, semasa ECRL bermula dua tahun lalu, sebahagian kemudahan penginapan untuk pekerja Cina masih belum siap dan China Communications Construction Company (CCCC) terpaksa menyewa rumah untuk pekerja.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Bentong Yap Yoke Kim berkata pasaran hartanah tempatan antara yang akan mendapat manfaat besar jika ECRL diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019.

Ini kata Yap, menyebabkan harga sewa di Bentong melambung tinggi. Kadar sewa bagi rumah teres dua tingkat naik kepada RM4,000 sebulan atau lebih berbanding RM2,000 sebelum ini.

“Selepas asrama pekerja dibina, pekerja biasa Cina pindah ke sana, tetapi yang berpangkat tinggi lebih suka menyewa di luar. Jadi, pasaran masih bagus.

“Tetapi lepas ECRL ditangguhkan, semua pekerja Cina balik ke China dan kadar sewa balik semula ke harga lama,” katanya.

Jika projek ini diteruskan, ia sudah pasti disokong orang Cina tempatan, kata Yap.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bentong Gan Peng Hwa pula berkata semasa kerja-kerja projek ECRL dimulakan, ratusan warga China sering datang ke Bentong, membawa keuntungan kepada peniaga kecil tempatan terutamanya mereka yang bekerja di pasar atau berniaga makanan dan minuman.

“Kalau ECRL diteruskan, kita akan sokong, sebab projek mega macam ini sudah tentu meningkatkan ekonomi penduduk di sini,” kata Gan.

Jika ECRL diteruskan, ia sudah pasti disokong orang Cina tempatan, kata Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bentong Gan Peng Hwa – Gambar The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019.

Perjalanan mereka yang setiap ari berulang-alik dari Bentong ke Kuala Lumpur untuk bekerja juga akan lebih selamat dan selesa sebaik sahaja ECRL siap, katanya.

“Dari Bentong ke Kuala Lumpur makan masa sejam. Apabila ECRL siap  nanti, perjalanan hanya ambil masa 35 minit. Sekarang ini, harga hartanah di Kuala Lumpur sangat mahal, bermakna orang juga akan beli hartanah di Bentong.”

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada minggu lepas berkata rundingan mengenai ECRl dengan China memberangsangkan. Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata perbincangan antara Malaysia dan China menunjukkan perkembangan.

China bersedia untuk mengurangkan tanda harga AS$20 billion (RM81.4 bilion) dan rundingan berada di “peringkat akhir”, kata Saifuddin dalam satu temubual bersama Bloomberg.

Wing Pong, seorang mekanik di Bentong. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019.

Wing Pong, seorang mekanik berkata apabila ECRL siap dibina, ia mungkin akan lebih memberi manfaat kepada penduduk Kuala Lumpur berbanding penduduk tempatan dan ini akan meningkatkan sektor pelancongan dan pembangunan di Bentong.

“Kita orang tempatan Bentong, tak perlu naik kereta api ke Kuala Lumpur. Dari sini ke Kuala Lumpur cuma ambil masa sejam, jadi nak buat apa naik kereta api? Lebih selesa kalau naik kereta,” katanya.

“Orang tempatan mungkin tak guna (ECRL), tetapi orang dari Kuala Lumpur, Kuantan dan Terengganu mungkin ya. Mereka boleh naik kereta api ke Bentong untuk bercuti, ini dah tentu membantu pembangunan di sini.” – 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen