ECRL mungkin diteruskan dengan skala lebih kecil, kata Dr Mahathir


Projek ECRL berjumlah RM81 bilion diluluskan Kabinet pada Oktober 2016, landasan sepanjang 688km itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor, Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

PROJEK Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) boleh dijalankan pada skala lebih kecil sekiranya China bersetuju, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata China dan Malaysia masih berunding mengenai projek itu yang ditangguhkan Julai lalu tidak lama selepas Pakatan Harapan menakluk Putrajaya.

“Apa yang kita cuba lakukan adalah memastikan kita tidak akan menghabiskan banyak wang manakala China tidak akan mengalami kerugian,” kata Dr Mahathir dipetik berkata oleh akhbar Sin Chew Daily.

Dr Mahathir menjelaskan yang Malaysia berada dalam kedudukan kewangan yang sukar dan membatalkan projek tersebut bermaksud terpaksa membayar pampasan besar dan berdepan kekangan sumber.

Disebabkan itu, tambahnya, Malaysia mahu melakukan pindaan terhadap projek tersebut.

“Kami sedang berunding - secara rasmi atau tidak rasmi - dengan mereka, kepada mereka, ini adalah kontrak yang menguntungkan, jadi mereka enggan membuat perubahan.

“Tetapi ini tidak mudah kerana kami terikat dengan kontrak dan tidak dapat menamatkan projek dengan mudah kerana kami tidak mempunyai wang untuk membayar China ... Kami telah membayar banyak wang kepada China selepas penangguhan itu,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan mahu menyemak semula klausa perjanjian ECRL tetapi pampasan pembatalan menyebabkan ia sukar dilakukan.

Projek ECRL berjumlah RM81 bilion diluluskan Kabinet pada Oktober 2016 dan kontrak pembinaan diserahkan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Landasan sepanjang 688km itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor, Kelantan

Dalam satu wawancara tahun lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sudah membayar RM20 bilion untuk projek tersebut, beliau mencadangkan projek itu diteruskan tetapi dengan terma kewangan yang lebih baik. – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen