Dr Mahathir mahu Anwar hentikan rundingan dengan PAS


Nabihah Hamid

DR Mahathir Mohamad akui menghadapi sedikit masalah dengan PKR selepas hasrat Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang mahu meneruskan kerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun, PKR yang merupakan sebahagian dalam pakatan pembangkang sepatutnya menghentikan sebarang rundingan, kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“PKR ada banyak pendirian mengenai kerjasama dengan PAS. Ini akan mengelirukan pengundi.

“Saya akui kita ada sedikit masalah dengan PKR kerana Anwar secara terbuka mahu teruskan kerjasama dengan PAS.

“Sebagai satu pakatan, kita putuskan tiada lagi rundingan dengan PAS kerana tiada ruang untuk kita terima PAS.

“Kita akan hentikan rundingan tersebut. Saya harap kita akan dapat lakukan,” kata Dr Mahathir dalam satu sesi dialog di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Pada 2 September lalu, Anwar merestui usaha Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berunding dengan PAS bertujuan membentuk kerjasama.

Namun, komitmen PKR teguh dan kukuh bersama PH seperti mana yang dinyatakan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak awal lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata sekiranya PAS sertai PH, maka akan ada lima parti dalam gabungan itu.

“PAS akan bertegas mahukan 60 kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya lepas.

“Jika mereka ambil 60 kerusi, apa yang tinggal untuk Amanah, dan orang lain (tiada kerusi untuk ditandingi) kecuali Muhyiddin Yassin. – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen