Pakatan boleh menang separuh kerusi Parlimen Sabah, kata Dr Mahathir


Nabihah Hamid

Dalam wawancara ekslusif pagi tadi, Dr Mahathir Mohamad mengatakan Sabah dan Sarawak bukan lagi deposit tetap Barisan Nasional. – Gambar DAP, 6 September, 2017.

DR Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) dapat memenangi separuh daripada kerusi Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum ke-14 ini kerana tidak seperti Barisan Nasional yang cuba menguasai parti setempat, PH sebaliknya akan menjalin kerjasama.

“Sekarang ini, Sabah dan Sarawak ada sifat kenegerian yang kuat. Mereka tidak suka jika didominasi oleh parti dari Semenanjung.

“Jika kita ke sana kita dilihat hendak mendominasi. Itu kita tidak mahu. Kita mahu kerjasama.

“Kita ada parti di Sabah yang sangat menyokong kita. Setakat ini, saya rasa kita (PH) separuh daripada kerusi parlimen di Sabah,” katanya dalam satu sesi dialog di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan peserta yang ingin tahu apakah perancangan PH di Sabah dan Sarawak pada PRU14 nanti.

Dr Mahathir sebelum itu, pada sebelah pagi, dalam wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insight berkata BN tidak lagi boleh berharap pada kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menang PRU14 setelah Putrajaya gagal memenuhi kehendak dua negeri itu.

“Sabah dan Sarawak bukan lagi deposit tetap untuk Barisan Nasional. Mereka kini lebih prihatin untuk negeri mereka sendiri.

“Saya katakan begini kerana kerajaan sangat lemah dan tidak boleh memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak. Tetapi sewaktu zaman saya (jadi perdana menteri) mereka 100 peratus bersama kerajaan,” katanya.

Sabah mempunyai 26 kerusi Parlimen, termasuk satu kerusi Wilayah Persekutuan Labuan. Pada PRU13, BN menang 22 kerusi Parlimen di Sabah.

Kerusi-kerusi Parlimen di Sabah kini dipegang masing-masing 2 oleh DAP dan 2 oleh Parti Warisan yang ditubuhkan tahun lalu oleh bekas Naib Presiden Umno, Shafie Apdal. – 6 September, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen