Sabah, Sarawak bukan lagi deposit tetap BN, kata Dr Mahathir


Nabihah Hamid

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama pemimpin DAP Lim Kit Siang selepas wawancara bersama The Malaysian Insight di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. Menurut Dr Mahathir, Kerajaan kini sangat lemah dan tidak boleh memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 September, 2017.

BARISAN Nasional (BN) tidak lagi boleh berharap pada kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah Putrajaya gagal memenuhi kehendak dua negeri itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Sabah dan Sarawak bukan lagi deposit tetap untuk BN. Mereka kini lebih prihatin untuk negeri mereka sendiri.

“Saya katakan begini kerana kerajaan sangat lemah dan tidak boleh memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak. Tetapi sewaktu zaman saya (jadi perdana menteri) mereka 100% bersama kerajaan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama The Malaysian Insight.

Wawancara itu turut menampilkan ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), menjawab soalan apakah rancangan ia untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi di dua negeri itu dalam PRU14 nanti.

Kaji selidik The Malaysian Insight yang dijalankan oleh Merdeka Centre pada Mei lalu mendapati majoriti penduduk Sabah merasai kesan tekanan ekonomi dan mahu autonomi lebih besar untuk negeri itu mengendalikan urusan kewangan dan pentadbiran.

Kaji selidik itu juga mendapati majoriti penduduk Sabah tidak mahu berpisah daripada Persekutuan, sebaliknya hanya mahukan lebih kebebasan daripada Putrajaya.

Sabah dan Sarawak menyumbang 55 kerusi Parlimen daripada 134 yang dimenangi oleh BN dalam PRU13.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata walaupun Sabah dan Sarawak tidak cenderung untuk berpisah dari Malaysia namun hakikatnya mereka masih lagi rasa terasing.

“Kita kena terima hakikat yang mereka tidak fikir mereka adalah sebahagian daripada Malaysia. Kita kena benarkan mereka cari kekuatan dan apa mereka boleh buat untuk diri mereka, tetapi pada masa sama kita mahu mereka jadi sebahagian daripada Malaysia.

“Setakat kini, mereka tidak tunjukkan kecenderungan untuk berpisah (keluar dari Malaysia),” kata Dr Mahathir lagi.

Sementara itu pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan PH mampu menang sekiranya ada peralihan sokongan 5% pengundi bandar dan 10% pengundi luar bandar.

“Apa yang kita (PH) perlukan ialah 10% peralihan undi daripada pengundi luar bandar daripada BN dan dapat 5% lagi peralihan undi daripada pengundi bandar untuk menawan Putrajaya.

“Kita kena kekalkan sokongan pengundi yang ada dan kita akan dapat tawan lagi beberapa negeri.” katanya.

Namun menurut Lim, PH perlu bekerja keras bagi memastikan sokongan sedia ada kekal dan memastikan gabungan baru pembangkang itu dapat menawan Putrajaya bagi menyelamatkan Malaysia. – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen