Sabah bukan lagi deposit tetap BN, kata kaji selidik


The Malaysian Insight

Hasil kajian itu menunjukkan gambaran populasi yang sangat tidak berpuas hati, dan jauh daripada deposit tetap bank undi yang dicerminkan oleh ahli politik gabungan pemerintah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2017.

ANDAIAN utama yang menjadi asas dalam rancangan PRU14 Barisan Nasional (BN) sangat bahaya dan mungkin salah, apabila kaji selidik baru-baru ini menunjukkan pengundi di negeri “deposit tetap” Sabah resah dan tidak berpuas hati.

Jika pilihan raya umum (PRU) diadakan hari ini, kemungkinan besar calon BN tidak dapat mengulangi kejayaan yang dicapai di peringkat negeri dan Parlimen seperti pada 2013. Tetapi kaji selidik itu juga menunjukkan mustahil untuk pembangkang mengawal negeri itu pada PRU14, dengan majoriti pengundi belum yakin dengan pencapaian mereka setakat ini.

Kaji selidik The Malaysian Insight yang dijalankan oleh Merdeka Centre bulan ini membabitkan 905 pengundi, meliputi semua kumpulan umur dan demografik.

Antara dapatan utama ialah:

* kira-kira 52% responden tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

* kira-kira 49% responden percaya Malaysia dibawa ke arah yang salah, dengan kebimbangan utama ialah kos sara hidup dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

* kira-kira 66% responden tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi di Sabah.

* kira-kira 56% daripada mereka yang dikaji selidik berkata mereka merasai krisis ekonomi.

* hampir 70% responden juga mahu autonomi lebih besar untuk Sabah mengendalikan kewangan dan pentadbirannya. Mereka tidak mahu berpisah daripada Persekutuan, tetapi hanya lebih kebebasan daripada Putrajaya.

* Pengundi di Sabah terus bimbang mengenai pendatang asing dan mahu isu itu dibahaskan sepenuhnya pada PRU akan datang.

Hasil kajian itu menunjukkan gambaran satu populasi yang sangat tidak berpuas hati, dan jauh daripada deposit tetap bank undi yang dicerminkan oleh ahli politik gabungan pemerintah.

BN Sabah menyumbangkan 23 kerusi Parlimen untuk majoriti 134 kerusi BN di Dewan Rakyat. Pakar strategi BN menjangkakan PRU14 akan memberi kemenangan kepada BN tetapi dengan majoriti kerusi Parlimen antara 122 dan 128 kerusi.

Pengiraan itu mengandaikan BN Sabah akan mendapat keputusan sebaik pada PRU 2013.

Keputusan utama yang perlu Perdana Menteri Najib Razak buat sebelum PRU ialah sama ada hendak membenarkan Musa Aman terus menjadi ketua menteri Sabah, atau tidak.

Pengundi Sabah berpecah mengenai pencapaian Musa dengan 45% berkata mereka berpuas hati dan jumlah sama selebihnya tidak berpuas hati.

Tetapi, walaupun penilaian keyakinan Sabah sedemikian, pembangkang di Sabah tidak boleh rasa gembira.

Hanya 26% responden melihat pembangkang secara positif manakala 48% tidak berpuas hati dengan pencapaian mereka.

Menyentuh mengenai permintaan besar mendapatkan autonomi dalam kalangan rakyat Sabah, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata agak menarik apabila mereka mahu lebih kuasa dalam membuat dasar dan kewangan, tetapi tetap mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Sentimen itu menunjukkan pengundi Sabah tidak mempunyai keyakinan tinggi meletakkan masa depan mereka di tangan pemimpin tempatan.

Dr Zaini Othman dari Universiti Malaya Sabah berkata sokongan untuk autonomi itu sebenarnya desakan kepada Putrajaya untuk memenuhi janji mereka di mengikut 20 perkara Perjanjian Malaysia 1963.

Antara janji itu ialah perkhidmatan awam Sabah didominasi oleh masyarakat peribumi negeri itu, Sabah menaikkan sendiri cukai dan menguruskan kewangan serta sistem pendidikan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Masih tidak jelas jika parti tempatan yang berkempen mendapatkan autonomi seperti Parti Progresif Sabah, Parti Reformasi Negeri dan Parti Warisan Sabah yang ditubuhkan oleh Shafie Apdal akan dapat menangani keresahan pengundi Sabah.

Hasil kaji selidik itu juga mencadangkan mereka akan mempunyai pengundi responsif kepada kempen Sabah untuk rakyat Sabah. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Baguslah, orang Sabah pun dah mula sedar dan rasa apa yang orang Semenanjung rasa terhadap kerajaan BN sekarang. Segala-galanya bermula dengan perbuatan yang dilakukan oleh Penyangak MO1.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Noordin KCD · Ulasan