Pekerja China kembali, petanda ECRL bakal disambung


Andrew Chin

Projek Laluan Rel Pantai Timur digantung pembinaannya pada Julai tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019

PEKERJA warga China bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula kembali ke Malaysia, satu petanda pasti yang projek tersebut akan dimulakan semula.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight sesetengah pekerja China yang dihantar pulang oleh majikannya ketika projek itu dibekukan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih sudah mula bekerja dua minggu lalu.

Ketika kerajaan pertama kali mengumumkan pembatalan projek ECRL pada Julai lalu, semua pekerja warga China dalam China Communications Construction Company (CCCC) pulang ke negara asal, meninggalkan pekerja tempatan meneruskan apa sahaja yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, ia menimbulkan spekulasi yang semakin hangat bahawa Putrajaya dan Beijing sudah mencapai persetujuan mengenai permulaan projek, dengan kembalinya pekerja China.

Ketika The Malaysian Insight melawat satu kawasan di Kampung Temiang berhampiran Bentong, tiada aktiviti di tapak pembinaan tetapi di pejabatnya yang terletak kira-kira 15 minit jauhnya, terdapat kira-kira 10 buah kereta diparkir di situ, menunjukkan masih ada orang yang bekerja di sana.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, pekerja dari China sudah kembali, dan dengan cepat menambah syarikat itu sudah mengeluarkan satu arahan kepada semua pekerja untuk menghalang mereka daripada bercakap kepada pihak luar.

Difahamkan pejabat tapak projek ECRL di Bentong mempunyai kira-kira 126 pekerja, yang terdiri daripada pentadbir (35), pemandu (57), juruteknik tapak projek (18), pekerja logistik dan pembersihan (16). Daripada jumlah keseluruhan itu, 76 orang atau kira-kira 60% adalah penduduk tempatan.

Ditanya sama ada syarikat sudah mengeluarkan sebarang pekeliling untuk memaklumkan pekerja mengenai status projek ECRL, pekerja itu mengatakan tiada.

“Syarikat tidak mengeluarkan sebarang pekeliling, saya fikir ia kerana mereka sedang menunggu kerajaan membuat pengumuman rasmi,” katanya.

Beliau juga berkata selain pekerja yang kembali ke pejabat tapak projek di Bentong, semua kakitangan warga China yang lain diarahkan melaporkan diri ke pejabat utama di Kuala Lumpur.

CCCC pada 3 Julai 2018 menerima arahan pemberhentian kerja untuk ECRL, yang menjejaskan pekerja CCCC di tapak projek di Mentakab, Bentong, Kuala Lumpur dan Lentang.

Secara keseluruhan, ratusan pekerja pentadbiran dan kira-kira 4,000 jurutera, pekerja logistik, pekerja pengangkutan dan buruh terjejas.

Bagaimanapun, projek itu nampaknya kembali dihidupkan apabila pada 21 Februari, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia dan China akan mencapai persetujuan mengenai ECRL menjelang April.

Pekerja ECRL di tapak pembinaan Bentong, Pahang pada Julai tahun lepas. Ratusan pekerja dan ribuan jurutera, pekerja logistik, pekerja pengangkutan dan buruh terjejas apabila syarikat menerima arahan pemberhentian kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019.

Ini diikuti kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata projek itu akan diteruskan jika Malaysia dan China boleh bersetuju dengan harga yang bertepatan.

Beliau berkata kerajaan berharap dapat mengurangkan perbelanjaan untuk projek itu tetapi kedua-dua pihak masih belum bersetuju dengan harga.

“Jika harganya sesuai maka kita akan teruskan. Tetapi pada masa ini, kami tidak bersetuju dengan harga,” katanya pada 23 Februari.

Beliau menambah yang projek ECRL menelan kos kira-kira RM55 bilion, yang perlu dibayar balik dalam tempoh 30 tahun akan datang. Ditambah dengan kadar faedahnya, Dr Mahathir berkata, projek itu akan menelan belanja kira-kira RM140 bilion.

Walaupun pekerja China dilihat kembali memulakan kerja, ekonomi tempatan di tapak projek terus suram.

Tiada sebarang tanda aktiviti sebagaimana di kawasan tapak projek.

Apabila The Malaysian Insight melawat tapak Kampung Temiang, ia tidak mempunyai aktiviti kerja, kecuali bunyi motosikal dan kereta penduduk kampung, bunyi serangga dan burung dari hutan berdekatan.

Seorang penduduk kampung bernama Azman memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerja dihentikan dan pekerja sudah meninggalkan kawasan itu.

“Kira-kira dua tahun lalu, ketika CCCC datang dan membina tapak kerja, terdapat banyak pekerja.

“Lori dan pencampur simen yang mengangkut bahan binaan juga keluar masuk sepanjang masa, dan terdapat juga ramai pekerja. Tetapi kini mereka semua sudah tiada” katanya. – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen