Tak perlu belanjawan tambahan untuk subsidi petrol, kata Guan Eng


Asila Jalil

Kerajaan masih mampu menampung subsidi jika harga minyak dunia naik melepasi harga siling RM2.08 seliter, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2019.

PUTRAJAYA tidak memerlukan belanjawan tambahan untuk subsidi harga petrol RON95 walaupun harga minyak dunia naik melepasi harga siling RM2.08 seliter, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, kerajaan masih mampu menampung subsidi itu kerana ada simpanan.

“Untuk ini, saya tak fikir perlu (untuk belanjawan tambahan),” katanya kepada wartawan selepas menyerahkan sumbangan kepada Yayasan Restu untuk program pengurusan percetakan Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya hari ini.

Apabila ditanya jumlah anggaran yang boleh dikeluarkan kerajaan untuk membiayai subsidi sekiranya harga naik di atas RM2.08, Lim berkata semua bergantung kepada harga pasaran petrol.

Katanya, yang mustahak adalah Kabinet sudah memutuskan penurunan harga siling untuk mengurangkan beban rakyat.

Semalam, Lim mengumumkan harga siling untuk petrol RON95 diturunkan daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter.

Katanya, ini bermakna pengguna tidak akan membayar lebih RM2.08 seliter untuk RON95 walaupun jika harga mintak terus naik. Kerajaan akan mensubsidi perbezaan harga petrol tersebut. 

Kerajaan meletakkan harga petrol RON95 pada harga tertinggi boleh dicapai sebanyak RM2.20 seliter pada Januari apabila Putrajaya mengumumkan pengapungan harga minyak. 

Harga diesel juga ditetapkan paling tinggi boleh mencapai RM2.18 seliter, dan sehingga sekarang harga tersebut tidak banyak berubah. 

Menyentuh isu Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 untuk setiap isi rumah dan RM100 untuk bujang belum berkahwin, Lim berkata, ia berasal daripada simpanan yang diuruskan kerajaan dan dijangka akan terus dapat dilakukan.

“Kerana itu jika ada simpanan, kami pastinya akan berkongsi dengan rakyat. Ini adalah sebahagian daripadanya,” kata Lim.

Bayaran pertama BSP RM300 untuk isi rumah sudah dibuat pada 28 Januari lalu.

Minggu lepas, beliau mengumumkan yang kerajaan akan memberi bantuan tahunan tambahan RM100 kepada setiap bujang belum berkahwin yang berdaftar sebagai penerima BSH.

Katanya, bayaran itu akan memberi manfaat kepada tiga juta penerima, melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen