Editor Sarawak Report enggan komen dakwaan dibayar PAS


Tan Wan-Peng

EDITOR Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown enggan memberi sebarang komen mengenai dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang pemimpin PAS Abdul Hadi Awang membayarnya RM1.42 juta sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi mengakhiri saman fitnahnya.

Malam tadi di sebuah ceramah di Semenyih, Anwar mengemukakan apa yang didakwanya sebagai penyata bank bagi membuktikan presiden PAS itu telah membayar RM1.42 juta kepada Rewcastle-Brown bulan lepas.

“Tiada komen,” kata Rewcastle-Brown kepada The Malaysian Insight menerusi Whatsapp dari UK, sebagai respons dakwaan Anwar.

“Saya sedar pemimpin PAS membuat komen tidak benar (merujuk kepada penyelesaian) dan ia tidak sepatutnya begitu (kerana klausa kerahsiaan),” katanya, sambil menambah dokumen yang didakwa Anwar sebagai penyata bank itu “ditutup” dan boleh jadi apa sahaja.

Semasa ceramahnya malam tadi, Anwar “menutup” penyata berkenaan dan mencabar PAS mengemukakan saman jika dakwaannya satu fitnah.

“Tarikh 19 Februari 2019 daripada PAS kepada Claire Rewcastle RM1.422 juta dibayar. Bayar kepada orang yang fitnah kita? Tidak.

“Kalau saya salah, saman saya. Saya Anwar Ibrahim, saya tidak akan cakap jika tiada fakta,” kata Anwar.

Hadi menyaman Rewcastle-Brown pada 2017 berhubung laporan tahun sebelumnya yang mendakwa pemimpin PAS menerima RM90 juta untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau secara sukarela menarik balik saman mahkamah yang difailkan di London, UK, tahun ini, dan laporan itu masih berada di laman web Sarawak Report. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen