Ini bukti PAS bohong isu dana Umno RM90 juta, kata Anwar


SM Amin

Anwar Ibrahim memegang sekeping kertas, didakwanya penyata bank membuktikan PAS membayar ketua pengarang Sarawak Report untuk menyelesaikan saman. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Februari, 2019.

ANWAR Ibrahim mengasak PAS dengan mendedahkan bukti baharu mendakwa pemimpin parti itu berbohong berhubung dana RM90 juta didakwa diterima dari Umno.

Presiden PKR itu mendedahkan bukti bahawa PAS membayar RM1.42 juta bagi penyelesaian luar mahkamah bagi penyelesaian kes saman ke atas blog Sarawak Report berhubung dakwaan tersebut.

Dalam satu ceramah malam tadi, Anwar menunjukkan sehelai kertas didakwa bukti bayaran tersebut dan mencabar PAS mengemukakan saman ke atasnya sekiranya dakwaan itu satu fitnah.

“Saya ada penyata bank. Saya gelapkan sebab saya tidak mahu pemberita ambil gambar dahulu. Saya hendak tunggu PAS nafi dahulu.

“Tarikh 19 Februari 2019 daripada PAS kepada Claire Rewcastle RM1.422 juta dibayar. Bayar kepada orang yang fitnah kita? Tidak.

“Kalau saya salah, saman saya. Saya Anwar Ibrahim, saya tidak akan cakap jika tiada fakta,” katanya pada malam tadi di Bandar Bukit Mahkota ketika berkempen untuk calon Pakatan Harapan bagi PRK Semenyih.

Bukti tersebut bagi menjawab kenyataan PAS semalam bahawa parti itu tidak membuat sebarang pembayaran kepada editor Sarawak Report bagi penyelesaian kes saman tersebut.

PAS menjawab demikian beberapa hari selepas Ketua Pengarangnya, Clare Rewcastle-Brown mendedahkan Abdul Hadi membayar wang lebih RM1 juta itu sebagai penyelesaian kes samannya.

Ia bagi saman ke atas Rewcastle-Brown di mahkamah London atas laporan Sarawak Report bahawa PAS menerima RM90 juta dari Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam penyelesaian di luar mahkamah itu, PAS juga bersetuju agar tulisan berhubung dakwaan berkenaan kekal di blog Sarawak Report.

Anwar bingkas menyerang PAS dalam kempen PRK Semenyih selepas parti itu berusaha melaga-lagakan beliau dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas timbalan perdana menteri itu berang kerana Hadi pada bulan ini menimbulkan dakwaan bahawa terdapat usaha menggulingkan Dr Mahathir.

Walhal, pemimpin PH sudah bersetuju untuk menyokong Dr Mahathir serta rancangan untuk beliau menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

“Ini adalah kerja PAS, sebab itu saya mula tegur mereka,” katanya semalam.

Tambahnya, beliau terbuka pada kritikan dan perbezaan pendapat tetapi tidak dapat menerima penipuan atau fitnah. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen