Jalan seni menuju Quran


Mohd Syazreen Abdullah

SENI adalah manifestasi jiwa manusia kurniaan-Nya. Tugas manusia selaku hamba adalah menyebar pesan estetika sifat-sifat Tuhan melalui interaksi dengan kalam-Nya – Quran. Justeru, firman kepada nabi untuk umat juga indah – betapa Quran cerminan kepada Tuhan maha indah. Harus kita sambut keindahan-Nya; tidak sesekali berlagak angkuh sebaliknya tunduk menadah kerahmatan Tuhan.

Manusia tidak harus lari realiti – keceriaan, kesedihan dan pergolakan. Kompleksiti dunia menuntut ragam dimensi. Namun, rahmat Tuhan ada di celah-celah nukilan seni – pena, lukisan, filem, puisi, muzik, fi’il dan kalam. Semua itu ekspresi kebenaran untuk diluah kepada-Nya.

Hati yang jinak mudah meraih keindahan rahmat-Nya. Justeru, umat harus dipupuk dengan bahasa kemanusiaan. Menjiwai keindahan sekaligus mengkayakan seni dalam beragama. Supaya pesan-pesan-Nya jauh menusuk ke tangkai hati yang redup.

Jangan biar hati jadi keras, kelak kita sibuk berbalah mahu menegakkan kebenaran sendiri – berdiri mendabik kebenaran – yang belum tentu – dan hanya diabsahkan ego sendiri.

Jangan terkejut dengan kerasnya hati kelompok teror. Mereka begitu anti seni. Mereka sangka seni manifestasi yang melalaikan – sia-sia. Tanpa sedar, hati yang keras membawa kepada aksi yang kekerasan sifatnya.

Mereka ini malang. Mereka ini hanya tahu kandungan Quran tanpa sedikit pun ada rasa yang sayup meresap ke lubuk hati, sebagai saksi keindahan kalam-Nya.

Hilangnya rasa takjub

Kadangkala kebenaran hadir melalui pancaindera – mata dan telinga yang merungkai keping-keping kebenaran. Kebenaran tidak mungkin hadir dalam pekik tempikan slogan. Jauh sekali menjulang panjang pedang. Sebaliknya kebenaran tergambar dengan kesedaran rasa yang paling dalam.

Namun, kita selalu jahil. Selalu mahukan ekspresi kemanusiaan disekat ketat, dipagari duri – lalu menjadi polis moral. Seharusnya biarkan sahaja. Biarkan umat menikmati keindahan bertuhan – dimensi seni dalam beragama.

Malangnya, umat kini diajar kenal Tuhan dengan bahasa marah-marah. Tidak dibentur dengan lenggok bahasa yang manusiawi saat mengecapi keindahan bahasa Tuhan – Quran. Maka, jadilah kita umat yang tidak faham, keliru atau terlalu lewat menangkap pesan Quran – kerana gagal menyelami pesona kalam-Nya.

Akibatnya, kita hilang rasa takjub saat membaca pesan Tuhan. Kita lambat menangkap rahmat Tuhan dek kerasnya ketulan hati. Estetika Quran tidak kunjung tiba tanpa kita benar-benar mengerti seni, bahasa dan budaya yang melatari kalam-Nya.

Akhirnya, kita gagal menyebar rahmatan lil alamin kerana kita tidak faham-faham liuk bahasa Quran.

Tidak seperti yang ditunjuk umat Islam zaman awal. Sememangnya, masyarakat Arab memiliki seni dan budaya nan hebat meskipun dari jalur jahiliah. Mereka hebat berbahasa dan bersikap melalui karya. Justeru, tidak pelik kelompok Arab dahulu lebih menghargai ragam seni dan rencam kehidupan. Mereka sentiasa menjunjung tinggi penyair dan budayawan.

Penerimaan umat terhadap muzik, syair, irama menjadikan mereka lebih peka – membentuk psikologi lalu mengetuk naluri untuk menyedari atau memahami pesan tersirat-Nya.

Justeru, kesusasteraan menjadi asbab kukuh ke atas penerimaan wahyu – walau ada yang cuba-cuba menggugat estetika Quran. Namun, keindahannya tidak dapat digugat. Hanya keindahannya – buat mereka – tidak dapat dirasai.

Quran menggunakan bahasa yang dipakai masyarakat Arab ketika itu termasuk istilah uslub, amsal, tasybih, isti’arah dan majaz. Bezanya bahasa Quran memiliki I’jaz lughawi yang mengatasi kekuatan sasterawi dunia Arab.

Faham Quran dengan mendengar

Maka tidak aneh, ketika menerima pesan Quran, umat Islam zaman awal begitu takjub – walau hanya dengan lantunan bunyi Quran. Pesan Quran dihayati oleh muslim awal tertumpu pada sami’ – mendengar langsung dari nabi. Bukan baca-tulis pada lembaran kertas.

Kekuatan bahasa dan seni yang melatari kehidupan orang Arab mampu melenturkan hati yang keras, menggetar naluri hanya dengan sami’. Nyatalah, budaya seni yang melazimi kehidupan masyarakat Arab mempengaruhi mereka untuk mudah terkesan dengan keajaiban Quran.

Hal ini diterokai sarjana Jerman berdarah Iran, Navid Kermani melalui bukunya God is Beautiful: The Aesthetic Experience of the Quran. Beliau merungkai penerimaan wahyu Tuhan melalui bingkai estetika psikologi. Bagaimana pengalaman muslim zaman awal begitu khusyuk, tunduk dan tawaduk dalam memahami pesan Tuhan. Keindahan bahasa Quran telah menundukkan para sasterawan Arab lalu beriman dengan-Nya.

Lihatlah Saidina Umar al-Khattab. Sekeras-keras hatinya, dek kekuatan budaya seni, hati Umar mudah tersentuh dengan sepotong ayat Tuhan.

Kisahnya begini: Umar merancang mahu membunuh nabi. Suatu hari, seseorang mengatakan kepadanya bahawa saudara perempuannya Fatimah dan suaminya Sa’īd bin Zā‘id masuk Islam. Lalu dengan kepalang amarah, beliau pergi ke rumah mereka.

Saat di depan pintu, Umar terdengar bacaan Quran – terpukau dan meminta mereka membacakannya. Umar mulai membaca surat Ṭāha. Setelah beberapa ayat dibacanya, dia pun berseru, “alangkah indah dan mulianya perkataan ini (mā aḥsana hāżā alkalām wa akrama)!” Selepas itu, Umar akur dan beriman kepada Allah.

Begitu juga yang berlaku kepada seorang penyair ternama di Arab, Thufail bin Amr dari suku Daus. Beliau terkesima saat mendengar bacaan solat nabi lalu berseru: “Demi Allah, belum pernah aku mendengar hal yang lebih indah dan lebih benar dari ini!”

Begitu beberapa contoh yang diketengahkan Navid Kermani betapa akar budaya masyarakat Arab sebagai penerima wahyu merupakan asbab mudahnya mereka menerima estetika Quran. Maka, mereka menerima keindahan Quran yang dimaknai dengan akal, psikologi lalu dikaitkan dengan kesedaran ketuhanan. Justeru, hubungan antara bunyi, teks dan Tuhan menyatu dalam diri.

Jadi, membudayakan umat dengan kesenian amat mustahak. Kita mahukan umat yang menghayati pesan universal Quran. Bukan umat yang bersikap reaksionari lalu beraksi teror.

Malangnya umat diajar budaya troll, marah-marah, mengadu domba atau mengapi pendebatan yang tidak kesudahan – sekadar memuaskan nafsu kebinatangan atas nama Tuhan. Bukan demi kebenaran.

Janganlah kerana kejahilan akhirnya kita tutup ruang kebebasan dalam menghayati keindahan bertuhan. Barangkali benar ungkapan pemikir Islam, Muhammad Abduh bahawa “Islam tertutup oleh umat Islam”. Kerana angkuhnya kita, asbab rahmah Tuhan tidak kunjung tiba.

Sedangkan Quran menyatu dengan realiti. Pernahkah kita mendengar ayat Quran secara tiba-tiba kita terpana? Terpaku dibuai keasyikan kalam Tuhan? Kesyahduan batiniah ini dari mana datangnya?

Atau mungkin, kerana hati kita sudah terlalu keras, kita langsung tidak berasa apa-apa. – 28 Februari, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen