Nor Mohamed Yakcop beri keterangan RCI hari ke-5


The Malaysian Insight

Bekas penolong gabenor dan penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Mohamed selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian urus niaga mata wang asing BNM bersidang hari kelima hari ini di Istana Kehakiman, Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 September, 2017.

BEKAS penolong gabenor dan penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Mohamed Yakcop memberi keterangan sebagai saksi ketiga pada hari kelima Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing bank pusat pada awal 1990-an.

Nor Mohamed bertanggungjawab ke atas aktiviti urus niaga forex bank pada masa itu.

Terdahulu, bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Zeti Akhtar Aziz juga memberi keterangan sebagai saksi kedua pada hari kelima persidangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing BNM pada awal 1990-an.

Beliau memulakan kenyataannya dengan berkata pembabitan langsungnya yang pertama dalam pengurusan rizab bank ialah ketika tugasannya ke pejabat di London di mana AS$200 juta diperuntukkan untuk pelaburan bank pusat itu.

Dr Zeti ditugaskan di BNM di London dari 1989 hingga 1994 sebagai ketua perwakilan.

Pendengaran di Istana Kehakiman, Putrajaya itu dijangka akan turut memanggil bekas penolong gabenor Nor Mohamed Yakcop untuk memberi keterangan.

Menurut saksi pertama RCI itu, bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Manaf, Dr. Zeti mengarahkannya mengumpul maklumat dan menyediakan laporan mengenai urus niaga forex bermula dari 1989 hingga 1994.

Panel RCI itu awal hari ini mendengar keterangan daripada Ainum Mohamad Saaid, ketua khidmat nasihat di bahagian undang-undang.

Pada persidangan 30 Ogos, bekas gabenor BNM Lin See-Yan berkata beliau tidak tahu sama ada Dr Mahathir Mohamad, yang pada masa itu perdana menteri, sudah tahu mengenai kerugian akibat aktiviti urus niaga forex.

Beliau memberitahu panel RCI, Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika itu “tidak senang” dengan laporan kerugian itu.

Pada tiga hari pertama pendengaran, panel itu juga mendengar keterangan bekas auditor kanan P. Kanason yang BNM mengabaikan amaran berulang kali yang perdagangan mata wang asing itu tidak mematuhi peraturan.

Kanason, 78, memberitahu pasukannya mendapati pedagang bank pusat “terlibat dalam dagangan mata wang asing” yang berjumlah sehingga RM50 juta sehari.

Beliau memberitahu panel yang beliau meminta bantuan daripada bekas ketua penasihat perkhidmatan Ainum Mohamed Saaid di kamar undang-undang, dan “secara lisan” memaklumkan yang urus niaga forex BNM tidak mematuhi Akta Bank Negara Malaysia 1958.

Bekas staf bank pusat itu turut memberitahu RCI terdapat kurang penyeliaan terhadap jabatan pertukaran wang asing BNM.

Apa yang kita tahu tentang RCI kerugian forex

Abdul Murad Khalid yang juga penolong gabenor pada masa itu mendakwa bank pusat itu mengalami kerugian forex sehingga AS$10 bilion.

The Malaysian Insight membawakan kepada anda perkembangan terkini prosiding:

9:05am: Saksi pertama hari ini ialah Ainum Mohamad Saaid, ketua khidmat nasihat di bahagian undang-undang.

Dalam kenyataannya, Ainum memberi respons terhadap dakwaan Kanason yang beliau memberitahunya supaya jangan mempersoalkan kesahihan urus niaga forex di BNM.

“Saya tidak ingat ada kata ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’,” katanya.

9:30am: Ainum berkata walaupun Pejabat Peguam Negara “tidak memberikan jawapan atau hala tuju yang khusus” terhadap kesahihan urus niaga forex BNM, ordinan bank itu tidak membenarkan urus niaga forex.

“Apa yang saya ingat, apa berlaku ialah kami diberikan beberapa peruntukan undang-undang, di bawah Ordinan Bank Pusat, di mana menyatakan BNM tidak boleh melakukan urus niaga, BNM tidak ada bidang kuasa melakukan sebarang urus niaga forex.”

Panel Kamaludin Md Said kemudian bertanya Ainum adakah dalam pengetahuannya pada 1990-an, kerugian dihadapi BNM susulan urus niaga forex itu hanya RM9.4 bilion, dan beliau menjawab “Ya”.

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Zeti Akhtar Aziz hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian urus niaga mata wang asing BNM bersidang hari kelima hari ini di Istana Kehakiman, Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 September, 2017.

10:05am: Dr. Zeti, bekas gabenor BNM dipanggil memberi keterangan.

“Pada Jun 1993, Murad Khalid beritahu Jaffar Hussein iaitu gabenor pada masa itu mengenai urus niaga forex dilakukan BNM.

“Beliau diberitahu mengenai pendedahan besar-besaran transaksi forex BNM. Murad tidak memberikan maklumat terperinci berkenaan dagangan forex itu.”

Dr Zeti berkata beliau tahu mengenai kerugian dialami BNM dari tempoh 1988 hingga 1994, pada Januari 1994 “ketika ada berita mengenai perkembangan serius berhubung pengurusan rizab dalam BNM”.

“Pada masa itu saya masih bekerja di pejabat di London dan saya hubungi pegawai kanan di BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu BNM mengalami kerugian daripada pengurusan rizab.

“Saya mengarahkan Aziz untuk menyediakan laporan berkaitan rawatan perakaunan pengurusan rizab dari 1988 hingga 1994.

“Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi tahun 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion. Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion.”

1030am: Dr Zeti berkata ketika berada di London, beliau memberikan laporan bulanan kepada Nor Mohamed, yang dikatakannya pengurus jabatan perbankan serta penasihat.

Beliau berkata aktiviti urus niaga forex diletakkan di bawah jabatan bank.

10:55am: Saw Choo Boon bertanya kepada Zeti apakah situasi yang dihadapi BNM dari tahun 1992 hingga 1994 akan berulang hari ini, yang dijawab beliau tidak akan berlaku memandangkan terdapat sistem semak dan imbang.

Zeti: 25 tahun telah berlalu sejak kejadian itu, dan dalam tempoh itu ia tidak berulang kerana terdapatnya amalan semak dan imbang.

Walaupun mengalami krisis kewangan, yang sangat teruk, bank tidak runtuh dan rizab tidak habis, bank pusat berjaya menangani krisis itu.

11:03am: Tajuddin Atan berkata Jaffar iaitu gabenor, mempunyai “kuasa muktamad” dalam pengurusan BNM dan pengurusan rizab. Beliau kemudian bertanya kepada Zeti apa penyebab bagi Jaffar membenarkan kerugian urus niaga forex sebegitu banyak.

Zeti: Tanggapan terhadap gabenor memberi kuasa yang terlalu banyak kepada gabenor, tetapi gabenor harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang terjadi. Ia juga berlaku kepada bank perdagangan. Ia semua mengenai tadbir urus dan kebertanggungjawaban, tetapi di institusi bank dan kewangan, peranan lembaga pengarah sangat penting, begitu juga pihak pengurusan.

Lembaga pengarah mengatakan pihak pengurusan tidak pernah membawa kepada mereka dan tidak mengetahui apa yang dihadapi oleh pihak pengurusan.

Sejauh mana yang beliau (Jaffar) tahu, atau sama ada beliau sebahagian daripadanya, ia tidak jelas. Tetapi beliau mengambil tanggungjawab mengenainya dengan cara yang sangat terhormat.

11:19am: Gurdial Singh bertanya kepada Zeti jika menteri kewangan pada masa itu memperoleh maklumat berkaitan dengan operasi perbankan secara langsung daripada gabenor, yang diakuinya mendapat maklumat daripada gabenor dan lembaga pengarah BNM.

11:33am: Sesi berhenti selama 15 minit.

11:50am: Pendengaran RCI bersambung dengan saksi ketiga Nor Mohamed Yakcop dipanggil memberikan keterangan.

12:00pm: Nor Mohamed berkata sebelum tahun 1985, BNM tidak aktif dalam pengurusan rizab luar, termasuk perdagangan forex, memandangkan “kestabilan relatif dalam pasaran pertukaran asing antarabangsa”.

12.30pm: Nor Mohamed berkata semasa belia berkhidmat di BNM, beliau tidak membuat laporan terus kepada menteri kewangan atau perdana menteri mengenai isu-isu pengurusan rizab luar kerana ia bukan dalam aturan laporannya dan “sangat berhati-hati” agar tidak menjalankan sebarang urus niaga sendiri.

“Saya bertanggungjawab bagi dagangan forex oleh BNM sejak tahun 1986,” katanya, membaca daripada kenyataannya.

“Ketua pedagang dan pedagang dibenarkan membeli dan menjual mata wang asing berdasarkan had mereka.

“Saya tidak pernah melaksanakan sebarang perdagangan forex, saya tidak ingat jumlah tertinggi yang dicapai oleh dagangan forex dalam sehari.”

12:45pm: Nor Mohamed berkata beliau sering memberi laporan kepada Jaffar mengenai aktiviti perdagangan forex.

“Saya tidak bersetuju yang semua laporan berkaitan forex hanya dilaporkan kepada saya. Saya tidak bersetuju yang saya hanya melapor kepada Jaffar Hussein.

“Saya tidak ingat had pada dagangan forex yang ditetapkan kepada saya. Saya tidak ingat keuntungan dan kerugian yang dialami forex.”

12:58pm: Sesi pendengaran berhenti untuk makan tengahari dan disambung semula jam 2:15 petang.

2:33pm: Pendengaran disambung dengan pegawai yang mengendalikan RCI, Suhaimi Ibrahim menegaskan urusan forex bank pusat adalah agresif, yang menyebabkan peralihan dasar.

Suhaimi bertanya Nor Mohamed, “tidakkah perdana menteri dimaklumkan” perubahan dasar seperti itu?

Nor Mohamed menjawab beliau tahu menahu apa yang diberitahu oleh gabenor BNM ketika itu, Jaffar kepada Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri pada masa itu, mengenai peralihan dasar dimaksudkan.

2:51pm: Suhaimi merujuk kepada laporan dalaman oleh Pengurus Jabatan Audit Dalaman BNM Wong Yew Sen, yang mengatakan terdapat spekulasi keterlaluan dalam pasaran perdagangan forex.

“Jika saya tidak mengambil kira spekulasi, (pergerakan mata wang boleh menjejaskan ringgit) dan saya akan dianggap tidak bertindak melindunginya lebih awal,” kata Nor Mohamed.

Ditanya mengapa beliau membenarkan perdagangan spekulatif, Nor Mohamed menjawab, “Kerana ia adalah tugas saya. Kenapa? Ia demi negara saya.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan, BNM belajar daripada kesilapan saya.”

3:02pm: Suhaimi bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana pedagang forex dikawal sejak Jawatankuasa Rizab Luar BNM bersetuju dengan had sebanyak AS$30 juta.

“Jika anda tidak mempunyai kawalan, bagaimana anda tahu mereka berurus niaga dalam had ditetapkan?”

Nor Mohamed menjawab terdapat satu lagi bahagian di jabatan perbankan bank pusat yang memantau had pedagang.

3:28pm: Panel RCI Tajuddin Atan bertanya pandangan Nor Mohamed mengenai dasar urus niaga forex BNM, sama ada beliau individu yang memutuskan kedudukan aktif perdagangan bank pusat dan jika ia dilaporkan kepada menteri kewangan atau perdana menteri.

Nor Mohamed menjawab: “Keputusan aktif dalam pengurusan rizab, termasuk forex, dibuat oleh pengurusan kanan lembaga pengarah, gabenor, timbalan gabenor pada tahap itu pada tahun 1985.

“Ia tidak dibuat oleh saya kerana saya tidak berada dalam pengurusan kanan (kedudukan). Saya hanya seorang timbalan pengurus. Saya hanya menjadi pengurus pada tahun 1986. Keputusan itu bukan dibuat oleh saya.

“Pandangan saya ia adalah keputusan yang sangat baik kerana itu tindak balas yang tepat terhadap apa sahaja yang berlaku di dunia. Dan saya percaya kepakaran yang datang daripada mereka berguna. Dan pihak pengurusan kanan, melalui mesyuarat mingguannya, menyedari pengurusan rizab yang aktif. ERC menyedarinya.

“Bolehkah anda bayangkan situasi di mana kita mempunyai jawatankuasa dari tahun 1985 hingga 1993, dan perkara ini berlaku dan timbalan gabenor tidak tahu apa yang berlaku.

“Sekiranya anda tidak sedar, anda jenis timbalan gabenor yang bagaimana? Maksudnya ialah, orang ramai sedar tetapi sejauh mana mereka sedar, saya tidak tahu. Tetapi saya berusaha sebaik-baiknya untuk memberikan maklumat kepada mereka dan pihak yang lain juga cuba memberikan maklumat.”

3:38pm: Tajuddin bertanya kepada Nor Mohamed, memandangkan beliau tidak melaporkan perdagangan forex kepada perdana menteri atau menteri kewangan, adakah gabenor atau timbalannya berbuat sedemikian.

“Saya tidak tahu,” kata Nor Mohamed.

“Tetapi kemungkinan besar maklumat tersebut disampaikan kepada perdana menteri atau menteri kewangan. BNM sentiasa membincangkan hal dasar dengan mereka. Begitulah cara BNM beroperasi. Saya rasa perkara ini dibincang, tetapi secara peribadi, saya tidak tahu sebab tiada siapa memberitahu saya.”

3:41pm: Nor Mohamed Yakcop selesai memberikan keterangan. Sesi akan bersambung semula esok pada jam 9 pagi. – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen