PEKEBUN kecil meminta kerajaan mengawal import kelapa terutamanya dari Indonesia supaya tidak menjejaskan permintaan kelapa tempatan.
Pengusaha kelapa Abdul Rahman Husin, 45 berkata beliau kini sukar bersaing kerana harga kelapa import jauh lebih murah.
Kelapa import dari Indonesia itu dipasarkan pada harga sekitar 80 sen ke RM1 berbanding kelapa tempatan yang berharga antara RM1.20 hingga RM1.50.
Selain daripada mengawal jumlah kemasukan kelapa import, Rahman turut mencadangkan kerajaan mengawal harga jualan kelapa import sama seperti harga kelapa tempatan.
“Harga pasaran kelapa import murah, harga tempatan tinggi. Apabila kekurangan kelapa, kelapa luar masuk ke pasaran, orang pilih kelapa yang murah.
“Kesian kami terpaksa samakan dengan harga kelapa import,” kata Rahman yang mengusahakan kebun kelapa di Sabak Bernam.
Katanya, kelapa import tersebut perlu diselaras dengan harga kelapa tempatan supaya harganya tidak terlalu rendah.
“Harga yang terlalu rendah itu juga tidak adil bagi pengusaha tempatan yang mengeluarkan buah lebih bermutu berbanding buah kelapa import.
“Kelapa kita segar, santan lebih lemak,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di kebunnya.
Rugi besar
Menurut Rahman, masalah kekurangan permintaan kelapa tempatan ini mula dirasai sejak setahun lalu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pada waktu musim perayaan itu permintaan kelapa biasanya melonjak berkali ganda, tetapi keadaan sebalinya berlaku.
“Kalau hari raya, merata-rata orang datang cari kelapa tetapi tahun lepas tiada.
“Tahun lalu kelapa yang rosak dibuang lebih dari 10,000 biji, saya rugi dalam RM7,000 hingga RM8,000,” keluhnya.
Bagaimanapun beliau akui import kelapa masih perlu disebabkan bekalan kelapa tempatan yang tidak konsisten terutamanya pada Februari hingga Jun kerana kelapa kurang menjadi.
Jelasnya, cuaca yang panas pada Februari hingga Jun menyebabkan putik kurang dan gugur selain gangguan monyet yang merosakkan putik-putik tersebut.
“Biasanya dalam lima ekar itu ada 3,500-4,000 biji tetapi musim melawas itu jadi 1,800-2,000 biji sahaja. Hampir separuh kurang.
“Bila bekalan tidak cukup, itu yang bawa masuk kelapa import tetapi harga itu biarlah dengan harga kelapa tempatan supaya boleh kita bersaing.
“Kalau disekat pun susah juga sebab bila bekalan kurang, harga kelapa akan melambung tinggi, akan ada banyak kesan terutama kos sara hidup. Serba salah jugalah,” katanya.

Karenah peraih, tanaman
Seorang lagi pengusaha kelapa, Mujahid Mokhtar berkata pengusaha kelapa sepertinya juga perlu berdepan dengan karenah peraih yang mahu membeli buah dengan harga paling rendah.
“Peraih kuat memilih. Buah besar baru lepas untuk dijual ke KL. Kalau dahulu peraih dari KL akan ambil semua saiz A, B dan C dengan satu harga – RM1.70.
“Tetapi sekarang ini peraih ambil A dgn B sahaja dengan RM1.50 sahaja,” katanya.
Terdapat dua jenis kelapa tempatan di negara ini iaitu kelapa matag yang lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding jenis Malayan Tall atau kelapa tinggi.
Kelapa matag mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua tahun setengah berbanding kelapa tinggi yang boleh mencecah usia empat tahun baru boleh berbuah.
Bagaimanapun kelapa matag juga mempunyai buah lebih banyak dan besar disebabkan sabutnya yang nipis tetapi memerlukan penjagaan lebih rapi.
Tanaman ini juga perlu diracun dan dibaja kerana mudah diserang penyakit dan kumbang.
Oleh itu, pengusaha ini berharap kerajaan dapat juga menyediakan bantuan racun dan baja selain latihan keusahawanan supaya produk kelapa itu dapat dipelbagaikan.
Menurutnya, ramai pengusaha sepertinya berminat mengeluarkan produk lain berasaskan kelapa tetapi tiada pengetahuan.
“Kalau ada khidmat nasihat untuk kami, buat cipta produk IKS sendiri ke, dapatlah kami kurangkan kerugian,” katanya.
Rahmat bagi peniaga santan
Bagi pengusaha seperti Rahman dan Mujahid, lambakan kelapa itu membawa kerugian tetapi bagi peniaga santan kelapa seperti Norismaliza Mad Ali, 32, ia memberi peluang keuntungan besar.
Lambakan kelapa bermakna bahan tersebut dapat diperolehi dengan harga murah.
“Kita seronok boleh dapat harga murah. Kalau pati santan saya jual pada harga RM9, (pati) campur air RM6. Kalau kelapa kurang, saya tidak jual pati santan.
“Selain jual santan, kelapa yang tidak terjual itu saya jemur kering. Tempurungnya kita bakar jadikan arang untuk buat kerisik.
“Sabut kelapa kita jual buat kusyen sofa. Kita pelbagaikan untuk kurangkan risiko rugi,” kata Norismaliza.
Walaupun dapat mempelbagaikan produk jualan, Norismaliza berkata masih banyak kelapa yang terbiar rosak disebabkan kemasukan kelapa import yang tidak terkawal.
Oleh itu kemasukan kelapa import itu perlu dikurangkan dan hanya dibawa masuk apabila perlu sahaja, katanya.
“Kesian juga tengok tuan kebun mengeluh, kurang pendapatan orang kampung,” katanya.
Pengopek kelapa turut merana
Dalam rantaian itu, lambakan kelapa juga memberi kesan kepada penduduk kampung yang mengambil upah mengupas kelapa seperti Roslan Arshad, 52 yang melakukan kerja itu sejak berusia 18 tahun.
“Dahulu kelapa banyak dapatlah kopek 1,000 hingga 1,500 biji sehari tetapi sekarang permintaan pun sudah tidak banyak.
“Sehari cuma boleh kopek dalam 500 biji sahaja,” katanya yang menerima upah 8 sen sebiji.
Sekiranya beliau mengupas jumlah yang lebih daripada itu, banyak rosak seperti yang berlaku pada September lalu, katanya.
Lambakan itu turut mendapat perhatian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyalahkan dasar kerajaan kerana mengimport dari negara dengan lebihan pengeluaran amat besar seperti Indonesia.
Presiden (CAP) SM Mohamed Idris berkata perangkaan 2016 menunjukkan Indonesia menghasilkan 183 juta tan kelapa tetapi penggunaan domestiknya hanya 1.8 juta tan.
Ini bermakna Indonesia mempunyai lebihan 181.2 juta tan untuk dieksport, katanya yang melihat ini sebagai ancaman besar kepada pengeluaran Malaysia.
Walhal, Malaysia menghasilkan 646,932 tan dan hanya perlu mengimport 110,000 tan untuk memenuhi permintaan tempatan.
“Amat berbahaya bagi negara untuk bergerak ke hadapan tanpa rancangan jangka panjang terutama sekali dalam jaminan keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada agensi kawal selia
Oleh itu kerajaan perlu mengawal import kelapa sekurang-kurangnya sehingga keadaan stabil dan menggalakkan petani dan individu menanam tanaman lain, katanya.
Tanaman kelapa juga berbeza jika dibanding dengan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan padi yang dikelola oleh agensi khas.
Kerajaan sebelum ini mencadangkan Perbadanan Koko dan Kelapa Malaysia diwujud bagi menggantikan Lembaga Koko Malaysia dalam usaha meningkatkan pengeluaran kelapa.
Usaha untuk meminda Akta Perbadanan Koko Malaysia 1998 untuk memasukkan perkara itu bagaimanapun masih gagal direalisasikan sehingga kini. – 27 Februari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Khairul Anuar · Ulasan