Nazri nafi rasis, dakwa kenyataan disalah erti 


Noel Achariam

Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz berkata apa yang dihadapinya adalah cubaan terdesak pihak tertentu bagi memenangi pilihan raya kecil Semenyih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Februari, 2019

MOHAMED Nazri Aziz yang dikecam berikutan ceramah kempennya didakwa berbaur hasutan berkata, kenyataannya disalah erti dan ia adalah perbuatan pihak tertentu yang terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil Semenyih. 

Setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata apa yang berlaku kepadanya sebenarnya adalah perbuatan Pakatan Harapan.

“Semua orang kenal saya. Saya bukan ekstremis. Saya merupakan orang yang menjaga hak semua kaum,” kata Nazri pada satu sesi dialog bersama belia di Semenyih. 

“Bagi mereka yang kenal saya. Semua ini karut.”

Beliau berkata media pro-kerajaan telah menyalahgunakan kenyataannya di sebuah ceramah di Semenyih, dan menggunakan peluang itu untuk menggambarkan beliau sebagai rasis.

Bukit Aman kini menyiasat Nazri di bawah Akta Hasutan berikutan kenyataannya ketika ceramah kempen pilihan raya kecil Semenyih minggu lalu. 

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Nazri disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Di bawah akta berkenaan, pesalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketika ucapannya di Beranang, Semenyih pada Sabtu, Nazri dilaporkan menuduh kerajaan Pakatan Harapan lemah dan “menyerahkan” hak Melayu kepada kaum lain. 

Beliau mengkritik kerajaan mengenai pelantikan orang bukan Melayu bagi jawatan ketua hakim, peguam negara dan menteri kewangan.

Pada satu sidang media untuk menjawab perkara itu, Nazri berkata beliau hanya menyuarakan isu yang dibincangkan oleh akar umbi Melayu.

“Saya sudah bertemu dengan pihak polis dan memberikan kenyataan saya. Jadi, saya belum didakwa lagi. 

“Ia hanya siasatan. Selepas itu, saya tidak tahu,” katanya malam ini.  – 26 Februari, 2019



  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen