PAS terima kasih dengan SPRM sahkan tiada duit RM90j


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa isu itu dihentikan segera manakala PAS sedia mengambil tindakan undang-undang kalau ada lagi pihak yang terus memfitnahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2019.

PAS menghargai pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada duit RM90 juta masuk ke akaun parti Islam itu dari 1Malaysia Development Berhad, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Katanya, pengesahan SPRM itu bukti tuduhan terhadap PAS selama ini hanya fitnah memburukkan parti Islam itu menjelang pilihan raya umum lalu.

“Justeru itu PAS menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan dengan “without fear or favour” kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan melalui lidah rasmi parti Harakahdaily.

Takiyuddin juga menggesa isu itu dihentikan segera manakala PAS sedia mengambil tindakan undang-undang kalau ada lagi pihak yang terus memfitnahnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM), Mohd Shukri Abdull, di Kuala Terengganu bahawa hasil siasatan SPRM menunjukkan tiada duit RM90 juta masuk ke dalam akaun PAS dari mana-mana pihak, termasuk yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan duit 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) PAS,” katanya seperti dipetik media di Kuala Terengganu.

Minggu lalu, The Malaysia Insight melaporkan agensi anti rasuah itu meluaskan siasatannya terhadap penderma dan kroni PAS setelah tiada bukti sahih berlaku transaksi langsung antara Umno dan PAS.

Sumber SPRM memberitahu The Malaysia Insight beberapa ahli perniagaan serta orang kenamaan yang sering menderma kepada parti Islam itu kini dalam pemantauan dan siasatannya.

SPRM sebelum ini menyiasat penderma tetap dan kroni PAS ketika agensi antirasuah itu memperluaskan siasatannya berhubung dakwaan parti Islam itu menerima wang RM90 juta daripada Umno yang disyaki ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Bachok dari PAS Nik Abduh Nik Mat disiasat SPRM susulan rakaman audio suaranya yang mengatakan parti Islam itu menerima dana dari Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2019.

Siasatan tersebut diperluaskan setelah tiada bukti sahih berlaku transaksi langsung antara dua parti itu atau antara ahli-ahlinya, kata sumber SPRM.

Setakat ini, penyiasat SPRM sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas pemimpin parti Islam itu, Nasharudin Mat Isa.

SPRM membuka siasatannya terhadap PAS selepas menerima laporan susulan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report itu menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah di London awal bulan ini.

Bagaimanapun, tulisan Rewcastle-Brown menuduh PAS menerima duit Umno itu tidak dipadamkan daripada laman web Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti Islam itu menyokong Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu.

Polis dan SPRM turut menyiasat rakaman audio suara Nik Abduh yang mengaku parti Islam itu menerima dana daripada Umno, sementara beliau ada hubungan baik dengan agensi perisikan Amerika Syarikat (CIA).

Sebelum ini, Takiyuddin mengesahkan rakaman audio yang tersebar adalah suara Nik Abduh namun maksudnya bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.

Potongan rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Selain Hadi, beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad. – 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen