SPRM siasat pula penderma, kroni PAS


Kalidevi Mogan Kumarappa

Beberapa ahli perniagaan serta orang kenamaan yang sering menderma kepada PAS kini dalam pemantauan dan siasatan SPRM yang sebelum ini menyiasat sembilan pemimpin parti Islam itu, termasuk isteri beberapa pemimpinnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menyiasat penderma tetap dan kroni PAS ketika ia memperluaskan siasatannya berhubung dakwaan parti Islam itu menerima wang RM90 juta daripada Umno yang disyaki ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan tersebut diperluaskan setelah tiada bukti sahih berlaku transaksi langsung antara dua parti itu atau antara ahli-ahlinya, kata sumber agensi anti rasuah itu.

The Malaysia Insight difahamkan beberapa ahli perniagaan serta orang kenamaan yang sering menderma kepada parti Islam itu kini dalam pemantauan dan siasatan SPRM.

Siasatan itu mencakupi transaksi perbankan persendirian penyumbang tetap dana politik PAS dalam tempoh berkenaan, kata sumber.

“Ada kemungkinan dana itu disalurkan melalui akaun peribadi pihak berkepentingan kepada PAS. Itu yang menjadi fokus siasatan sekarang.

“Apa pun biar kami siasat dahulu bagi mengetahui kebenaran di sebalik penyaluran dana itu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

SPRM sebelum ini mendedahkan ia sedang menyiasat sembilan pemimpin PAS, termasuk isteri beberapa pemimpin itu, selepas siasatan awal menunjukkan mereka memiliki kereta jenis mewah, antaranya BMW 525, Mini Clubman, Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Toyota Fortuners.

Selebihnya, termasuk juga kereta jenis Range Rover, Audi A6, Toyota Altis, Porsche Cayman, Audi Q7, Volkswagen Passat serta beberapa buah motorsikal berkuasa tinggi.

Ada juga dalam kalangan pemimpin itu didapati memiliki banglo berharga lebih RM3 juta di Lembah Klang.

Penyiasat anti rasuah setakat ini sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas pemimpin parti Islam itu, Nasharudin Mat Isa.

SPRM juga menetapkan bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan sebagai saksi utama siasatan dan sudah diambil keterangannya.

Polis dan SPRM turut menyiasat rakaman audio suara Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz  yang mengaku parti Islam itu menerima dana daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.

Keterangan Ambiga disifatkan penting selepas namanya dipetik dalam tulisan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mendakwa PAS menerima dana daripada Umno.

SPRM membuka siasatannya terhadap PAS selepas menerima laporan susulan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report itu menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah di London awal bulan ini.

Bagaimanapun, tulisan Rewcastle-Brown menuduh PAS menerima duit Umno itu tidak dipadamkan daripada laman web Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti Islam itu menyokong Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu.

Polis dan SPRM turut menyiasat rakaman audio suara Nik Abduh yang mengaku parti Islam itu menerima dana daripada Umno, sementara beliau ada hubungan baik dengan agensi perisikan Amerika Syarikat (CIA).

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan rakaman audio yang tersebar adalah suara Nik Abduh namun maksudnya bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, Takiyuddin meminta semua pihak meneliti keseluruhan ucapan Nik Abduh untuk memahami maksud sebenar memandangkan banyak huraian disampaikan, dan bukannya mendengar separuh saja daripada rakaman itu.

Pada Februari tahun lalu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, sebuah klip audio tersebar di media sosial, didakwa “bukti” penyaluran wang oleh Umno kepada PAS.

Potongan rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Selain Hadi, beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad. – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen