Saya difitnah, yang minta maaf tak akan masuk neraka, kata Najib


Asila Jalil

Najib Razak menceritakan bahawa seorang ustaz anak bekas mufti Kedah meminta maaf kepadanya kerana percaya beliau terlibat dalam pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Februari, 2019.

NAJIB Razak malam tadi mendedahkan yang seorang ustaz, anak bekas mufti Kedah, baru-baru ini meminta maaf kepadanya kerana percaya bekas perdana menteri itu ada kaitan dengan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Katanya, ustaz tersebut meminta maaf kerana tidak mahu mencarinya di Padang Mashyar kelak.

“Bila kita berdosa dan memfitnah, pahala kita diberikan kepada orang yang kita buat salah.

“Jadi, bukan sahaja saya dapat pahala, tetapi ustaz itu pun boleh masuk neraka,” katanya pada ceramah di Semenyih.

Najib berkata, memandangkan kemaafan sudah diberi, ustaz tersebut sekarang sudah “selamat”.

“Saya tanya dia mengapa percaya pada fitnah yang saya ni pembunuh. Katanya, sebab setiap ceramah kaitkan saya dengan dia (Altantuya).

“Saya beritahu, tiada bukti saya terlibat. Dia minta maaf selepas sepupu Altantuya buat kenyataan di mahkamah yang gambar dikatakan saya dengan Altantuya tak betul (palsu).”

Bulan lepas, Burmaa Oyunchimeg, dalam kenyataannya berkata gambar ditunjukkan Altantuya kepadanya mengenai Najib dan “teman lelakinya” Razak Baginda tidak sama dengan gambar diberikan kepada mahkamah ketika perbicaraan.

Oyunchimeg berkata Altantuya tidak ada dalam gambar yang diberikan di mahkamah.

Najib berkata, sukar melupakan pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan kes pembunuhan berprofil tinggi, termasuklah Altantuya dan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

“Saya jadi mangsa banyak sangat fitnah. Saya dikaitkan dengan beberapa kes bunuh berprofil tinggi. Macam saya ni pembunuh bersiri.

“Polis dah kata tiada bukti, tetapi saya dah menderita selama 10 tahun.” – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen