UMNO dan PAS perlu bekerjasama dengan menunjukkan persamaan dalam membela Islam dan Melayu, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar.
Katanya, kerjasama untuk membela Islam dan Melayu itu perlu ditunjukkan seperti dalam peristiwa “rusuhan Natrah” yang berlaku hampir 70 tahun lalu.
Orang Melayu bersatu tanpa mengira perbezaan politik kerana tidak mahu agama Islam dihina dan diperlekehkan waktu itu, katanya.
“Sejarah mengajar kita bagaimana peristiwa Natrah pernah membangkitkan umat Islam dari pelbagai latar belakang politik, akhirnya bersatu membela Natrah. Semuanya bergerak membela Natrah.
“Dan pada hari ini, kita harap kebangkitan yang sama, kita buktikan dan saya rayu sangat-sangat kepada ahli PAS.
“Dan saya rayu juga rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN) agar prinsip dan asas ini terus dipertahankan,” katanya dalam satu ceramah anjuran Pemuda Umno di Kuala Pajam malam tadi.
Rusuhan Natrah pada 12 Disember 1950 itu adalah rentetan daripada isu hak jagaan ke atas Natrah Hertogh, seorang gadis bawah umur yang dibesarkan secara Islam.
Kumpulan masyarakat Melayu Islam itu membantah keputusan Mahkamah Singapura memberi hak jagaan gadis bawah umur tersebut kepada ibu bapanya yang merupakan penganut Kristian di Belanda.
Susulan rusuhan tersebut, seramai 18 terbunuh, 173 cedera, 10 dihukum gantung dan kira-kira 50 dihukum penjara.
Sukri berkata kebangkitan orang Melayu itu wajar ditunjukkan PAS dan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih kerana kedua-duanya mempunyai persamaan dalam membela Islam dan Melayu.
“PAS bekerjasama dengan Umno atas titik yang sama iaitu Islam. Kalau kerana kuasa dan harta dunia kita akan pilih Umno sewaktu Umno memegang kerajaan.
“Sebab itu kalau ada sahabat-sahabat pengundi di Semenyih ini daripada PAS, sebagaimana arahan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi agar dalam pilihan raya ini kita memberikan sokongan yang penuh kepada BN.
“Pemuda PAS Selangor menyediakan jentera di seluruh PDM di Semenyih. Menggerakkan seluruh kekuatan kita. Kita akan pastikan ahli PAS mengundi calon BN,” katanya.
Beliau berkata selagi Umno-PAS berdiri atas titik yang sama iaitu Islam dan kerjasama itu akan kekal.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail, Ahli Majlis Tertinggi Umno Khaidhirah Abu Zahar dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Selangor Norazley Yahya. – 22 Februari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan