Kementerian kaji semula projek PR1MA tertangguh


Asila Jalil

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengulas mengenai penangguhan projek PR1MA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2019.

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengkaji semula situasi kewangan projek pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang tertangguh.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata sesetengah pembinaan rumah itu mungkin tidak akan diteruskan jika hanya 10% daripadanya dibina.

“Bagi pembinaan rumah-rumah yang dihentikan, kita akan melihat kewangan sama ada projek ini boleh diteruskan.

“Kementerian masih mengkajinya kerana terdapat beberapa perkara perlu diteliti seperti sama ada keperluan lain yang perlu dituruti,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran skim FundMyHome-DepositKu di Semenyih hari ini.

“Projek yang dalam pembinaan akan diteruskan manakala projek yang belum bermula tidak akan dibangunkan,” katanya.

Zuraida berkata PR1MA kini menjalani usaha yang wajar dengan PricewaterhouseCoopers dan laporan penuh akan tersedia sebaik sahaja ia selesai.

Apabila rumah tersebut siap, ia akan dijual pada ekspo Home Ownership Campaign (HOC) 2019 bermula 1 hingga 4 Mac di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tahun lalu, lima agensi rumah mampu milik diletakkan di bawah kementerian itu.

Ia merupakan  Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). 

Skim FundMyHome-DepositKu dilancarkan hari ini melibatkan sistem pembiayaan berkumpulan bagi membantu pemilik rumah pertama dan golongan B40.

Ditanya kenapa skim itu dilancarkan hari ini ketika kempen pilihan raya kecil Semenyih, Zuraida berkata majlis itu sudah dirancang lebih awal.  – 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen