POLIS menerima 395 laporan di seluruh negara berkaitan tindakan seorang lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad di Facebook.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, lelaki berusia 68 tahun iaitu pemilik akaun Facebook dengan nama “Foo Sing Wai” kini ditahan reman sehingga 22 Februari depan.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan dengan niat jahat.
Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian lain dengan tidak wajar.
Suspek itu ditahan semalam di rumahnya di Mentakab, Pahang sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kelmarin, suspek dikatakan memuat naik gambar kartun berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum ia tular di media sosial.
Karikatur itu memaparkan imej satu individu lelaki dewasa telanjang yang dilabel dengan nama Muhammad dan seorang kanak-kanak perempuan telanjang yang dilabel dengan nama Aisyah.
Fuzi turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komuninasi dengan memuat naik atau kongsi sesuatu yang berbentuk provokasi.
“Tindakan seperti itu boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga menimbuljan ketegangan kaum di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.” – 20 Februari, 2019.
Komen