SEORANG warga emas ditahan polis berhubung penerbitan satu karikatur di Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
Menurut polis, individu berusia 68 tahun itu ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, hari ini susulan laporan dibuat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak semalam.
Ketua Polis Pahang, Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
“Kita sudah tahan. Dia akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, pegawai penyiasat dari IPD Batu Pahat akan membawa lelaki itu dari Mentakab.
Terdahulu hari ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan polis membuka kertas siasatan ke atas kes tersebut.
Individu berkenaan didakwa memuatkan gambar karikatur berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad dan isteri baginda Saidatina Aishah.
Karikatur itu memaparkan imej satu individu lelaki dewasa telanjang yang dilabel dengan nama Muhammad dan seorang kanak-kanak perempuan telanjang yang dilabel dengan nama Aisyah.
Mohd Zakaria turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati ketika memuat naik sebarang kenyataan di laman sosial terutama yang berkait sensitiviti agama dan kaum. – 19 Februari, 2019.
Komen