MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan polis kini menyiasat seorang lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad di Facebook.
Beliau berkata polis sudahpun membuka kertas siasatan berkenaan perkara itu.
“Polis sedang menyiasat, mengenai lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Beberapa kumpulan Islam membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama “Foo Sing Wai” selepas dia menyiar karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad berbogel dengan seorang budak perempuan yang juga berbogel dipercayai menggambarkan isteri baginda, Saidatina Aishah.
Bagaimanapun, polis masih belum menyoal lelaki itu, kata Muhyiddin.
“KPN (ketua polis negara) maklumkan kepada saya yang polis sudah kenal pasti lelaki itu tetapi masih belum merakam kenyataannya.
“Polis perlu mengambil tindakan kerana laporan telah dibuat terhadap orang ini,” katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya lebih sensitif di media sosial.
“Saya gesa orang ramai supaya jadi lebih sensitif apabila membincangkan isu-isu melibatkan perkauman dan agama. Jangan siar apa-apa yang boleh dianggap menghina agama atau Raja.”
Karikatur berkenaan mencetuskan kemarahan ramai orang Islam di seluruh negara dan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Mereka berkata perbuatan itu melampau dan mahu tindakan diambil terhadap pengguna Facebook itu.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan juga berkata perbuatan melampau seperti itu semakin menjadi-jadi selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya. – 19 Februari, 2019.
Komen