SEORANG bekas penasihat media kepada Najib Razak, Paul Geoffrey Stadlen dijangka akan dituduh di mahkamah atas dakwaan pengubahan wang haram.
The Malaysian Insight difahamkan, Stadlen akan didakwa tanpa kehadiran esok berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.
Sumber Suruhanhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, pihak bagaimanapun perlu memohon waran tangkap terlebih dulu ke atas Stadlen sebelum pendakwaan.
SPRM juga perlu menghantar amaran kepada Interpol untuk mengesan Stadlen yang dipercayai menghilangkan diri dari negara ini sejak Najib kalah pilihan raya pada Mei lalu.
“Kami tidak tahu lokasi terkininya dan disebabkan itu dia akan didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di Mahkamah Rasuah Kuala Lumpur.
“Dia akan didakwa bersama peguam Umno, Mohd Hafarizam Harun, 47, atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta,” katanya.
Hafarizam sudahpun ditahan SPRM petang ini dan akan dihadap ke mahkamah esok.
Sumber menyebut, wang RM15 juta itu didapati berpunca daripada Najib, yang kini berdepan 42 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.
SPRM pada Oktober lalu menyatakan suruhanjaya itu sedang mengesan Stadlen bagi membantu siasatan kes 1MDB.
Stadlen pada awalnya bertugas dengan firma perhubungan awam Apco International yang menyediakan perkhidmatan kepada Najib apabila ahli Parlimen Pekan itu dilantik menjadi perdana menteri pada 2009.
Stadlen kemudiannya berkhidmat kepada Najib secara langsung dan menjadi sebahagian daripada unit komunikasi perdana menteri itu.– 20 Februari, 2019.
Komen