Peguam terkemuka dikaitkan dengan Umno ditahan 


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG peguam terkemuka yang dikaitkan dengan Umno ditahan agensi anti rasuah, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, peguam bergelar Datuk itu tiba di ibu pejabat agensi itu kira-kira jam 4.20 petang hari ini.

“Dia baru sampai di pejabat SPRM dan kami tengah proses tindakan ke atasnya,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, peguam berusia 47 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Walaupun sumber SPRM enggan mendedahkan nama peguam itu, The Malaysia Insight difahamkan beliau adalah Mohd Hafarizam Harun.

Penfakwaan dijangka dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Peguam itu akan didakwa bersama perunding media kepada bekas merdana menteri, Paul Geoffrey Stadlen, yang difahamkan akan dituduh tanpa kehadiran.

Pengamal perhubungan awam itu dilaporkan sudah menghilangkan diri sejak kekalahan Najib Razak pada pilihan raya umum  Mei tahun lalu.

Menurut sumber, Paul dan peguam itu akan didakwa susulan dari penemuan bukti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan Najib.

The Malaysian Insight difahamkan, Stadlen akan didakwa tanpa kehadiran esok berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Perunding media kepada bekas merdana menteri, Paul Geoffrey Stadlen, turut akan dituduh tanpa kehadiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2019.

Sumber menyebut, wang berkenaan didapati berpunca daripada Najib, yang kini berdepan 42 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.

SPRM pada Oktober lalu menyatakan suruhanjaya itu sedang mengesan Paul bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Stadlen dilaporkan melarikan diri daripada Malaysia sebaik Najib kehilangan kuasa pada 9 Mei lalu.

Stadlen pada awalnya bertugas dengan firma perhubungan awam Apco International yang menyediakan perkhidmatan kepada Najib apabila ahli Parlimen Pekan itu dilantik menjadi perdana menteri pada 2009.

Stadlen kemudiannya berkhidmat kepada Najib secara langsung dan menjadi sebahagian daripada unit komunikasi perdana menteri itu. – 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen