Orang ramai di ceramah Najib tidak jejaskan Pakatan di Semenyih, kata Muhyiddin 


Asila Jalil Christopher Rabin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika turun padang bertemu peniaga di Beranang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2019

PAKATAN tidak terjejas dengan kehadiran orang ramai pada ceramah Najib Razak di Semenyih, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, ia tidak akan jejaskan kedudukan PH di Semenyih kerana pengundi tahu untuk mengundi siapa. 

“Pada saya ia bukan satu isu yang akan menjejaskan kedudukan kita kerana saya yakin pengundi di Semenyih bijak.

“Mereka tahu pemimpin dan parti mana yang perlu mereka sokong,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan peniaga tempatan di Beranang bersama calon Bersatu Muhammad Aiman Zanali hari ini.

Najib pada program ceramahnya di flat Bandar Tasek Kesuma malam tadi berjaya menarik kira-kira 500 orang.

Beliau berkata, undi untuk Barisan Nasional masih belum tentu lagi walaupun ribuan orang hadir pada ceramah parti itu dan PH tidak akan terpengaruh dengan angka ini.

Muhyiddin turut mengingatkan kepada masyarakat bahawa pentadbiran Najib tumbang kerana pemimpin itu menyebabkan masalah seperti mengambil duit rakyat dan terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jangan mudah lupa dengan masalah ini. Kami mahu ingatkan kamu,” katanya.

Tambahnya, sekiranya AIman dipilih di Semenyih, ia akan menjadi penghubung yang memudahkan komunikasi antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Katakan Aiman mahu bertemu mnteri besar, beliau hanya perlu buka pintu dan masuk tetapi bagi calon lain. mereka boleh datang tetapi ia akan mengambil sedikit masa.

“Saya hanya jelaskan secara umum,” katanya.

Pilihan raya kecil Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zanali, Zakaria Hanafi (BN), Kuan Chee Heng (bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Adunnya Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – 18 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen