Ceramah pertama ‘bossku’ di Semenyih dapat sambutan ramai


Asila Jalil

Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ceramah pada kempen BN di PRK Semenyih di Bandar Tasek Kesuma malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2019.

PENAMPILAN pertama bekas perdana menteri Najib Razak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih menarik ramai orang malam tadi.

Kira-kira 500 orang memenuhi padang terbuka berhampiran rumah pangsa Bandar Tasek Kesuma di Semenyih, untuk mendengar Najib berceramah.

Orang ramai juga mula melaungkan slogan “Malu apa bossku” ketika kenderaan Najib memasuki kawasan itu pada 9.40 malam. Sebuah lagu rap dengan slogan itu turut dimainkan untuk menyambut Najib, yang juga bekas presiden Umno.

Najib turut disambut meriah di Tesco Semenyih, ketika membeli-belah di situ baru-baru ini, dengan tujuan membuat pemeriksaan harga barang.

Mengenang program itu, Najib berkata tidak pernah seumur hidupnya sebegitu ramai orang minta bergambar selfie dengannya.

“Tidak pernah saya dikelilingi dengan orang sebegitu ramai mahu bergambar selfie dengan saya. Bila selfie tidak cantik, mereka minta ambil satu lagi.

“Sungguh luar biasa. Ada orang di eskalator dan bawah eskalator. Semua orang datang ke Tesco untuk bossku,” katanya ketika berceramah malam tadi dengan khalayak menjerit “bossku”.

Bossku ialah nama manja diberikan penyokongnya kepada Najib.

Ceramah Najib selama 30 minit di mana kebanyakannya beliau mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menekankan harga barangan masih mahal walaupun PH berjanji menurunkan harga jika diberi mandat mentadbir negara.

Katanya, bantuan kerajaan untuk rakyat Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak cukup dan tidak cekap, memetik aduan diterimanya daripada seorang pemohon berusia 83 tahun yang diminta menunjukkan sijil nikah untuk membolehkan menerima bantuan itu. – 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen