Mengenang 33 tahun Kembara Seniman Jalanan


Haris Hauzah

SEMASA Festival Filem Malaysia ke-6 pada bulan Disember 1986 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Pyanhabib telah naik ke pentas dan menolak hadiah yang diberi kepadanya.

“Terima kasih pada panel juri kerana memilih saya sebagai (pemenang) Hadiah Khas. Tetapi saya datang di sini sebagai diri saya peribadi dan sebagai peribadi saya tak terima hadiah. Sebagai pelakon saya terima dan sebagai peribadi saya tak terima. Terima kasih,” katanya.

Ucapan tegasnya itu telah disambut dengan penuh naif. Ada hadirin yang senyum. Tidak kurang yang mentertawakan Pyanhabib. Kebanyakan mereka kabur dan tidak tahu perihal mengapa Pyanhabib menolak anugerah kemenangan dengan ucapan seganjil itu.

Tiga puluh tiga tahun dulu, iaitu pada tanggal 22 Februari 1986, ada sebuah filem penting yang pernah perusahaan filem kita hasilkan berjudul Kembara Seniman Jalanan.

Filem ini pernah ditolak penyertaannya pada saat akhir penganjuran Festival Filem Malaysia ke-6, hanya kerana panel hakim berpendapat pemegang watak utamanya seseorang yang bukan berstatus warganegara. Malah pengarahnya Nasir Jani didakwa menciplak cerita dari naskah asal lakon layar.

Nasir Jani tidak berdiam. Dia bangun mempertahankan maruah diri serta hak filemnya. Dia yang sedari awal mempersoalkan tindakan panel hakim Festival Filem Malaysia ke-6 menerima pencalonan filem Suara Kekasih arahan Ida Farida seorang warganegara Indonesia, telah pergi ke pejabat Finas dan berhadapan sendiri dengan ketua pengarahnya.

Di sana tiada siapa yang mampu menjawabnya. Namun apa yang paling malang adalah apabila tiada siapa yang merasakan hak dan maruah filem tersebut telah dirampas dan dicuri sewenangnya. Sehingga filem kritikal yang sarat dengan gagasan pemikiran, persoalan politik dan kritikan sosial sepenting itu telah menjadi mangsa sikap “double standard” segelintir manusia yang memiliki sedikit kuasa.  

Kembara Seniman Jalanan bergelut dengan penolakan besar apabila festival filem negaranya sendiri menolak dan enggan meraikan kewujudannya. 

Sehingga secara luar biasa, penghakiman Festival Filem Malaysia ke-6 itu dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu menafikan hak filem tersebut sebagai sebuah filem penting yang pernah dihasilkan oleh perusahaan filem Malaysia.

Tidak mungkin akan ada seorang lagi Nasir Jani yang akan mempertahankan maruah filemnya dengan memecahkan pintu kaca pejabat Finas dengan batu yang dilontar sendiri dari tangannya.

Tuduhan plagiat yang dihadapi Nasir Jani sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku adalah apabila salah seorang dari panel hakim Festival Filem tersebut iaitu Hamzah Hussein, pernah diserahkan naskah cerita skrip filem tersebut oleh penulis asalnya M. Nasir untuk diubah menjadi sebuah nashkah lakonlayar yang sempurna. 

Kecuaian M. Nasir tidak menyampaikan maklumat tersebut telah menyebabkan berlakunya prejudis dan syak wasangka yang tidak sewajarnya.

Filem pertama arahan Nasir Jani itu bermula dengan babak watak utamanya bernama Bujang tiba di Puduraya. Tidak sampai beberapa ketika minda penonton sejenak dihantar mengembara ke alam impian Bujang tentang muzik dan album dalam satu garapan visual sederhana. 

Sebelum penonton kemudiannya dikejutkan Osman Tikus seorang penyeluk saku handalan dalam satu perlanggaran yang disengaja. Dari situlah Kembara Seniman Jalanan membuka plot dan menggerakkan naratifnya.

Rekaan dan pencorakan babak demi babak dalam filem ini adalah suatu dokumentasi tentang zaman dan masa. Gerai burger, kaki lima, rumah flat, banglo tinggal, jalanraya, bas mini, perhentian bas malah bangunan seperti Dayabumi atau persekitaran Dataran Merdeka termasuk telefon awam sekalipun telah berjaya menjadi semiotik yang mendalamkan erti dan makna cerita.

Kembara Seniman Jalanan sebenarnya membawa semangat anak muda pada zamannya. Era 80-an adalah zaman kebangkitan beramai-ramai anak muda dari terus menjadi mangsa orang zaman terdahulu dari mereka.

Nasir Jani cuba mendefinasikan ini melalui pendekatan meletakkan suatu garis visual melalui penceritaannya. Dia sengaja meletakkan seluruh karektor muda sebagai pembentuk hala tuju baru cita-cita apabila hanya memaparkan watak-watak tua pada cerita melalui cara imbas kembali semata-mata.

Konflik politik, kemelesetan ekonomi, kemelut pengangguran dan hal miskin bandar serta jurang dan isu ras, melatari kisah cetak rompak yang Bujang serta teman-temannya lawan. Paling berat adalah apabila seni dan budaya seperti sajak dan lagu rakyat tidak lagi dipandang berat oleh industri dan media.

“Cuma satu saja yang tak heavy dalam dunia ni, filem heavy drama Melayu, itu yang tak heavy!.” Dialog yang diucap Bujang ini sudah cukup menyimpulkan kesemuanya.

Nasir Jani memanfaatkan segala apa yang dia ada dalam filem ini untuk membangkitkan segenap rasa anak muda dalam suatu semangat politik yang disalut dengan jiwa watak yang berlatarbelakangkan agama, sosial, ekonomi dan budaya Melayu ditempat mereka.

Tulisan dinding ”Ke mana $2.7 biliooon ?” yang mengiringi pengakhiran filem ini disudahkan dengan babak pertarungan dalam cahaya api. Malah kematian misteri Osman Tikus merupakan perlambangan simbiosis kepada pengembaraan yang sarat dengan wacana skandal dan isu politik.

Tindakan Pyanhabib pada malam anugerah itu mendapat kecaman akhbar dan majalah. Malah dia didakwa sengaja melakukan sabotaj serta tidak reti menghormati majlis yang turut dihadiri timbalan perdana menteri.

Sikap Pyanhabib yang memilih untuk menolak anugerah Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik yang dimenanginya melalui filem Tsu Feh Sofiah, lalu memilih untuk bersama-sama dengan Nasir Jani, sebenarnya adalah suatu kemenangan besar buat Kembara Seniman Jalanan. 

Nilai pada semangat dari insiden itu jauh lebih tinggi berbanding apa jua kategori yang ditawarkan dalam Festival Filem Malaysia.

Kembara Seniman Jalanan adalah kisah tentang rompakan maruah dan pencurian hak seniman dan hasil karyanya oleh sekumpulan manusia. 

Ia tentang bagaimana masyarakat sekeliling menerima dan meraikan kisah malang sebuah filem penting negara dengan cara mentertawakan pejuangnya. Justeru harus kita renung kembali diri kita.

Kerana Nasir Jani dengan berani melawan penindas sampai ke penjara, sementara Pyanhabib dicemuh dan ditertawa dalam menzahirkan apa yang dia rasa hilangnya keadilan pada sebuah karya berharga.

Marilah kita kenang akan filem sepenting ini agar kita tahu yang membunuh karyawan dan filem itu sebenarnya siapa. – 17 Februari, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen