Salahuddin Ayub nafi ceramah politik di masjid


Mohd Farhan Darwis

Salahuddin Ayub berkata ucapan yang disampaikannya di Masjid Kolam Air, Johor Baru sejurus sebelum solat Jumaat minggu lalu adalah berunsur keagamaan dan tidak menyentuh perihal politik kepartian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2019.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menafikan beliau memberikan ceramah politik di Masjid Kolam Air, Johor Baru sejurus sebelum solat Jumaat minggu lalu.

Ahli Parlimen Pulai itu sebaliknya berkata, ucapan yang disampaikannya adalah berunsur keagamaan dan tidak menyentuh perihal politik kepartian.

“Saya meminta supaya buktikanlah adakah saya cakap politik di masjid itu, saya sebagai wakil rakyat, ahli Parlimen di situ memang tiap-tiap minggu saya pusing-pusing kawasan saya, sembahyang Jumaat di kawasan,” kata Salahuddin kepada The Malaysian Insight.

Timbalan presiden Amanah itu berkata, adalah menjadi rutin untuk beliau berada di kawasan Parlimen Pulai setiap hari Jumaat untuk melawat kawasan dan bertemu pengundi.

“Kebetulan hari itu di Masjid Kolam Air, di  bawah kawasan Parlimen Pulai…saya sampai dalam pukul 1 (petang), azan lebih kurang 1.20 petang, imam minta saya berucap sebagai ahli Parlimen.

“Saya berucap tidak sentuh politik pun, parti ke, tidak ada, (dalam rakaman) video itu pun tidak buktikan saya cakap politik,” katanya.

Sebaliknya, Salahuddin berkata dalam ucapannya beliau hanya menyampaikan tazkirah menyeru kepada perkara kebaikan sesama manusia.

“Apa yang saya berucap politik, saya kempen ke, Pakatan (Harapan) ke BN ke, tidak ada. Saya cerita kita mestilah buat kerja terbaik tolong manusia, tazkirah sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sebagai individu yang berkecimpung selama 35 tahun dalam politik, adalah mustahil untuk dirinya melakukan kesalahan tersebut.

“Takkanlah saya (berpengalaman) 35 tahun dalam politik nak berceramah politik di masjid…takkan saya tak boleh nak fikir perkara macam itu, kan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memberikan penjelasan kepada Istana Johor berhubung situasi sebenar yang berlaku. 

“Saya rasa saya tidak cakap apa-apa pun pasal politik di masjid, tapi kalau ada bukti, saya bersedia.

“Saya hanya beritahu apa yang berlaku dan terserah pihak berwajib untuk perkembangan seterusnya,” kata Salahuddin lagi.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa agar pihak berkuasa agama negeri itu menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap ahli politik yang didakwa menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di negeri itu sebelum khutbah Jumaat, minggu lalu.

Melalui laman media sosial miliknya, Tunku Ismail berkata tindakan memberikan ceramah politik di dalam masjid tidak pernah berlaku di Johor.

“Di negeri Johor, tidak pernah berlaku di mana orang memberikan ceramah politik di dalam masjid. Hormat tradisi Johor. 

“Saya menggesa Majlis Agama Islam memantau dan mengambil tindakan kepada sesiapa yang menggunakan masjid yang merupakan tempat beribadah demi kepentingan politik,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata demikian selepas pengguna media sosial meminta pihaknya segera mengambil tindakan terhadap Salahuddin  yang didakwa menyampaikan ucapan berunsur politik di Masjid Kolam Air, Johor Baru sebelum bermulanya khutbah Jumaat.

Pengguna Twitter dengan nama Captain Tsubasa turut memuat naik rakaman video berkenaan di laman Twitter milik Tunku Ismail bagi meminta beliau mengambil tindakan. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen