TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa agama negeri menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap Menteri Pertanian Salahuddin Ayub yang didakwa menyampaikan ceramah berunsur politik sebelum khutbah Jumaat di sebuah masjid di Johor, semalam.
Melalui laman media sosial miliknya, Tunku Ismail berkata tindakan memberikan ceramah politik di dalam masjid tidak pernah berlaku di Johor sebelum ini.
“Di negeri Johor, tidak pernah berlaku di mana orang memberikan ceramah politik di dalam masjid. Hormat tradisi Johor.
“Saya menggesa Majlis Agama Islam memantau dan mengambil tindakan kepada sesiapa yang menggunakan masjid yang merupakan tempat beribadah demi kepentingan politik,” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail berkata demikian selepas seorang pengguna Twitter memintanya segera mengambil tindakan terhadap Salahuddin, yang juga ahli Parlimen Pulai, kerana didakwa menyampaikan ucapan berunsur politik di Masjid Kolam Air, Johor Baru sebelum khutbah Jumaat, semalam.
Pengguna Twitter dengan nama Captain Tsubasa turut memuat naik rakaman video berkenaan di platform media sosial itu laman dan meminta Tunku Mahkota mengambil tindakan.
Pengguna dengan nama Sam Mikli turut meminta Tunku Ismail menyiasat dan mengambil tindakan segera.
“Siasat dan ambil tindakan… Itulah yang molek Tunku. Orang politik ini kadang-kadang bebal. Bebal tak bertempat,” katanya.
Pengguna Twitter dengan nama Aiman Rahmad mendakwa pihaknya berada di masjid berkenaan dan Salahuddin katanya hanya menyampaikan tazkirah.
“Saya ada di sana, yang saya dengar dia bagi tazkirah,” kata Aiman.
Sementara itu, seorang yang lain membela Salahuddin apabila berkataa: “Pemimpin bagi tazkirah pun dipandang jelekkan bro, ‘sakit’ betul hati orang sekarang ni.”
The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan Salahuddin untuk penjelasan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Johor (MBNJ) Md Saleeheen Mohamad dalam satu kenyataan berkata, perbuatan seperti itu dikhuatiri mengundang perpecahan di kalangan rakyat serta mencemar kesucian Islam.
MBNJ katanya, amat terkilan dengan perbuatan seorang ahli Parlimen berjawatan menteri menggunakan pentas khutbah jumaat membuat ceramah politik.
“Perbuatan ini benar benar telah mencemar kesucian agama Islam sebagai agama yang menyatu padukan rakyat berpuluh tahun lamanya.
“Sewajarnya sebagai seorang menteri, beliau menggunakan kedudukan untuk meningkatkan ekonomi rakyat, apatah portfolio yang disandangnya terdiri petani, pekebun dan nelayan yang memerlukan santunan dan perhatian daripada kerajaan.
“Perbuatan seumpama ini di khuatiri akan memecahbelahkan masyarakat, mengundang persepsi negatif dan tidak menjadi contoh teladan yang baik untuk anak muda,” katanya.
MBNJ juga katanya mengharapkan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Johor dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini.
Beliau turut berharap agar semua ahli politik tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang agar tidak menggunakan masjid dan surau sebagai gelanggang politik mereka.
The Malaysian Insight juga masih cuba menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan untuk mendapatkan komen. – 16 Februari, 2019.
Komen