Korban Merdeka


Indah laungan Merdeka
sudah 60 tahun kita
berselang takbir dan tahmid
mengalun merdu di bumi Malaysia

Namun kita masih dikata terpinggir
di ceruk-ceruk bandar atau di luar-luar
kampung terbelakang dari penguasaan
tertinggal dari ekonomi
terbawah dalam kuasa kerjaya
sudah 60 tahun kita
masih di sana
merdekakah kita?

Bapa-bapa Merdeka, bapa-bapa pembangunan
telah membawa perjalanan ini
dari dasar yang rendah
kepada makna yang lebih bermaruah
dari yang tidak dikenal
kepada model negara bangsa
namun dari anak-anak yang membesar, kita terlalai
terbuai dengan sedikit kesenangan
terleka dengan kemewahan
yang bukan pun milik kita
terlupa sejarah
hilang hati budi pada yang tua

Kita anak-anak Merdeka
bagai budak-budak terjajah
kerbau yang dicucuk hidung
dijajah tuan-tuan politik dengan janji-janji mereka
diheret ke kiri dan kanan dengan ugutan yang berkuasa
ditakutkan dengan agama dan bangsa, yang kononnya terancam
setelah 60 tahun merdeka
60 tahun berkuasa

Kita merdeka oleh British, namun terjajah bangsa sendiri
mereka yang mahu kekal kuasa, dan membiar kita kekal leka
membongsaikan minda
mengkerdilkan jiwa
terus menjadi budak-budak yang patuh kata tuannya
dan tidak merdeka

bagaimana mungkin kita merdeka
jika hanya mampu berbangga pada masa lalu
dan takut pada masa depan
takut meneroka dan mencuba, merdeka fikiran berwawasan
kerdil diri, menunggu disuruh, disuap, ditarik hidung, dijajah
menutup telinga, mulut, dan minda, takut bersuara,
terbungkus dengan hantu, retis, maharaja lawak dan minda kelas ketiga
dan masih lagi menunggu jasa baik orang memberi lesen, permit, gaji dan kerja

Anak bangsa,
merdeka ini meminta pengorbanan
bukan meminta-minta
memerlukan kita yang berani dan berkerja keras
berani membuka minda, menjelajah lautan masa dan sempadan
merdeka fikiran, bebas membuat keputusan
bukan terbeli dek siling dan ugutan
merdeka jiwa
bebas berkata ya dan tidak
hanya akur pada kebenaran
bukan kemunafikan,
bukan jahil terbelenggu
terjajah.

Anak bangsa,
masanya kita merdeka dari belenggu diri
penjajahan dalaman yang menjajah diri sendiri
bangun dan bangkit dari kepompong kerdil diri
menjadi tuan pada diri dan bangsa sendiri
bangga, bahawa negara ini berjaya atas tangan-tangan kita mandiri
megah atas maruah dan kebijakan yang hakiki

Anak bangsa,
merdekalah diri
merdekakan ekonomi
merdeka bangsa
merdeka negara
pada makna yang sebenarnya

* M Nizam Mahshar adalah setiausaha agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan mantan CEO Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen