Hutang KB1M bukan bawah Kementerian Kewangan, kata Guan Eng 


Nabihah Hamid

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan tambahan bagi sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian di Putrajaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2019

HUTANG Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) kepada penerbit buku bukan dikendalikan Kementerian Kewangan, kata Lim Guan Eng, sebaliknya diuruskan di bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau mengakui Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM) yang menguruskan KB1M merupakan anak syarikat yang ditubuhkan di bawah kementeriannya tetapi urusannya di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ia (ITBM) adalah anak syarikat MoF (Kementerian Kewangan) tetapi diuruskan MoE (Kementerian Pendidikan).

“Jadi anda tanya kementerian yang salah. Bagi saya ia hanya (isu) penstrukturan semula,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyerahan peruntukan tambahan bagi sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian di Putrajaya, hari ini.

Penerbit buku terlibat bulan lalu mendesak Putrajaya menyelesaikan segera baki bayaran mereka yang masih belum dijelaskan sejak tiga tahun lalu.

Lim pada sidang media sebelum itu, ketika menjawab soalan wartawan mengenai tuntutan hutang penerbit buku terhadap KB1M, berkata  akan menyemak semula dakwaan tersebut.

Katanya, beliau perlu meneliti isu-isu yang berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Untuk soalan ini saya kena semak. Zaman dulu-zaman punya kita kena korek-korek,”ujarnya.

Tetapi selepas sidang media itu, beliau menjelaskan kepada wartawan isu itu salah ditanya kepada beliau.

Sehingga hari ini KB1M masih berhutang dengan beberapa syarikat penerbit buku kecil sehingga hari ini, setahun selepas projek kedai buku ilham bekas perdana menteri Najib Razak itu terbengkalai.

Najib melancarkan KB1M pada September 2012 sebagai inisiatif membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran. KB1M mempunyai lima cawangan yang beroperasi di pusat transformasi bandar (UTC) di Ipoh, Kuantan, Alor Setar dan Gong Badak, serta di pejabat ITBM di Kuala Lumpur.

Akibat kerugian dan keadaan kewangan yang tenat, kedai buku itu ditutup secara berperingkat-peringkat, dengan cawangan terakhirnya di pejabat ITBM yang terakhir ditutup pertengahan Disember tahun lalu. – 14 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen