Bekas ahli Parlimen didakwa terima rasuah esok


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu notis kepada media memberitahu bekas ahli Parlimen itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8.30 pagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2019.

SEORANG bekas ahli Parlimen di Johor akan dihadapkan ke mahkamah esok atas tuduhan menerima suapan berbentuk bayaran ansuran kenderaan berjumlah lebih kurang RM23,500.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu notis kepada media memberitahu bekas ahli Parlimen itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8.30 pagi.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, tertuduh adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda yang didakwa menerima suapan tersebut untuk meluluskan kontrak semasa memegang jawatan di agensi persekutuan itu.

The Malaysian Insight difahamkan bekas ahli Parlimen itu meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki beliau mempunyai kepentingan bagi kerja-kerja penerbitan Akhbar 1Suara di Felda antara 2012 hingga 2015. Kontrak itu dianggar bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, antara 2014 hingga 2015, beliau menerima suapan dalam bentuk bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 dari syarikat percetakan itu.

Isnin lepas, bekas ahli Parlimen Kota Tinggi Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM50,000 serta sebidang tanah bernilai RM180,000.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau yang didakwa sebagai penjawat awam, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda, menerima deposit tunai bernilai RM50,000 melalui akaun bank miliknya daripada Karya Hidayah Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank cawangan Kluang pada 6 September 2013.

Mengikut pertuduhan kedua, beliau menerima tanah seluas 0.142 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada Karya Hidayah Sdn Bhd di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, pada 23 Mac 2014.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dan menetapkan 27 Mac ini untuk kes disebut semula. – 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen