Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi mengaku tak bersalah terima rasuah


Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (tiga dari kiri) berdepan dua pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada sebuah syarikat pencetakan pada 2013 dan 2014. – Gambar Facebook, 10 Februari, 2019.

BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bharu hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada sebuah syarikat pencetakan pada 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun, tertuduh, 56, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.  

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima deposit tunai berjumlah RM50,000 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd melalui akaun Maybank miliknya pada 6 September 2013. 

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Bhd Cawangan Kluang, Jalan Dato Haji Hassan dalam daerah Kluang ketika tertuduh merupakan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Ehsanuddin didakwa menerima sebidang tanah berkeluasan 0.142  hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat sama.

Kesalahan dilakukan pada 23 Mac 2014 di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Aras 1, Jalan Lombong di Kota Tinggi ketika beliau masih seorang Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Oleh itu, Noor Ehsanuddin didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu dipenjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 kepada tertuduh dan dipersetujui oleh pihak pembelaan. 

Hakim turut menetapkan 27 Mac ini untuk kes disebut semula.

Tertuduh diwakili oleh peguam Thrichelvam dan Vincent Lawrence.– Bernama, 10 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen