Menyedihkan jika RCI tidak panggil saya atau Dr Mahathir, kata Anwar


IA akan menjadi sesuatu yang amat menyedihkan bagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara pada 1980-an jika tidak meminta timbalan perdana menteri dan juga menteri kewangan pada masa itu memberi keterangan, kata Anwar Ibrahim.

Pemimpin de facto PKR yang dipenjara berkata, penting bagi RCI yang sedang berlangsung itu memanggil bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dirinya sendiri untuk memberikan keterangan.

“Saya cukup terkejut apabila pengerusi Sidek Hassan menjawab bahawa mereka ‘belum memutuskan’ sama ada akan memanggil saya atau tidak.

“Memandangkan saya merupakan Menteri Kewangan pada ketika kejadian tersebut berlaku, sudah pasti ini bukan suatu keputusan yang sukar untuk dibuat!

“Amat menyedihkan jika siasatan ini ditutup tanpa mendengar keterangan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

RCI dibentuk untuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kerugian pertukaran mata wang asing negara yang dialami pada akhir 1980-an.

Prosiding RCI sedang diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya

Panel enam suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Sidek.

Anwar berkata semasa RCI, terdapat banyak rujukan yang dibuat kepadanya.

“Oleh kerana sepanjang pendengaran ini diadakan nama saya telah dipetik beberapa kali, maka amatlah mustahak untuk saya dibenarkan memberi keterangan.

“Suruhanjaya ini telah beberapa kali berkata bahawa ia mahu menegakkan kebenaran dalam isu ini. Oleh itu, mereka pasti tahu bahawa cara terbaik adalah dengan membenarkan saksi-saksi kritikal seperti saya dan Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk memberi keterangan.”

Beliau berkata, fungsi dan tujuan RCI yang betul bukanlah untuk kesimpulan atau keputusan pramatang atau memfitnah mana-mana pihak, tetapi untuk menegakkan kebenaran. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen