'Bossku' boleh ajar MCA untuk kekal relevan


Andrew Chin

Presiden MCA Wee Ka Siong kini percaya yang ahli politik seharusnya berubah dan tidak perlu lagi stereotaip. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

MCA boleh belajar daripada bekas perdana menteri Najib Razak bagaimana untuk terus relevan dari segi politik, kata Presiden parti, Wee Ka Siong.

Najib kata Wee, bijak menggunakan media sosial untuk terus berhubung dengan rakyat lantas menjadi popular semula.

“Ketepikan dulu semua tuduhan rasuah terhadap Najib. Kita boleh belajar dari Najib mengenai bagaimana menggunakan media sosial untuk terus mendekati rakyat dan harap-harap dapat sokongan daripada mereka,” kata Wee kepada The Malaysia Insight dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau turut mengakui cemburu dengan dengan Najib yang kini popular di media sosial, yang menurutnya meresahkan beberapa individu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Wee berkata beliau kini percaya yang ahli politik seharusnya berubah dan tidak perlu lagi menjadi stereotaip.

Di media sosial, Najib cukup sinis mengkritik kerajaan PH dan pemimpin-pemimpinnya.

Meskipun berdepan 42 tuduhan jenayah berkait skandal 1MDB, Najib kerap turun padang bertemu rakyat. Beliau kini berada di Langkawi, kubu kuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Populariti Najib di media sosial, malah secara peribadi, kini naik mendadak. Ini sangat berbeza semasa beliau mengetuai kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Images of former prime minister Najib Razak on a motorcycle with the slogan 'Malu apa, Bossku' have become symbol of his resurgent popularity on social media. – Facebook pic, February 1, 2019.

Dalam pada itu, Wee tetap mempertahankan usul MCA supaya BN dibubarkan kerana sebagai parti komponen, ia berhak untuk mengemukakan usul tersebut.

MCA juga telah menghantar surat kepada Majlis Tertinggi BN pada Disember berhubung perkara itu, tambahnya.

Pada Perhimpunan Agung MCA awal Disember lalu, parti itu mengejutkan ramai pihak apabila mengusulkan supaya BN dibubarkan.

Menurut Wee, BN sekarang ini adalah gabungan yang lemah selepas kalah dalam PRU14 sehingga menyebabkan banyak sekutunya mengambil keputusan untuk angkat kaki. Yang tinggal dalam BN kini hanya Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Ahli Parlimen Ayer Hitam dan satu-satunya wakil MCA di Parlimen itu berkata beliau sudah bertemu Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan pada 8 Januari lalu dan berbincang mengenai masa depan BN.

“Dalam apa jua keadaan, BN perlu berbincang mengenai apakah langkah seterusnya yang perlu diambil. BN kini bukan seperti dulu.”

Berkenaan masa depan MCA pula, Wee berkata buat masa ini, mereka memainkan peranan dalam semak dan imbang pentadbiran PH. – 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen