Pakatan lalui jalan sukar jatuhkan BN, kata penganalisis


Yasmin Ramlan

WALAUPUN tahap rasa tidak puas hati di kalangan pengundi Melayu terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) tinggi, tugas menukar kerajaan masih sukar, kata penganalisis politik.

Itu kerana sebahagian besarnya disebabkan perpecahan di kalangan parti Melayu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sungguhpun penyertaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangsang sokongan kubu kuat tradisional Umno, ia masih sukar bagi mereka menggantikan BN di peringkat persekutuan.

“Kita dapati kekuatan Bersatu terletak kepada Dr Mahathir. Mereka (penyokong Umno) masuk Bersatu kerana adanya Dr Mahathir. Mereka kenali Dr Mahathir sebagai wira negara melalui buku teks (sejarah) dan juga kuliah dalam kem PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara), lepas itu beliau dimalukan,” kata Hisommuddin Bakar daripada firma penyelidikan Ilham Centre.

“Mereka tidak boleh terima Dr Mahathir dimalukan Najib (Perdana Menteri Najib Razak),” katanya.

Ilham Centre yang membuat kajian fokus terhadap keberkesanan kempen Bersatu yang dilakukan Dr Mahathir sejak November 2016 hingga Januari 2017, mendedahkan 5% undi protes di kalangan pengundi Melayu mampu menamatkan penguasaan BN selama enam dekad.

Sementara, kumpulan peneroka Felda, Anak, yang diketuai Mazlan Aliman, mempunyai masalah menembusi kubu kuat tradional Umno, ramai yang menyambut Dr Mahathir dengan mesra.

Pandangan Hisommuddin disokong tinjauan dibuat satu lagi badan penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor.

Kos hidup yang tinggi, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pengurusan yang lemah adalah antara aduan utama ditimbulkan oleh pengundi yang membawa kepada rasa tidak puas hati dengan pentadbiran semasa, kata Ketua Eksekutif IDE Prof Dr Redzuan Othman.

“Ketiga-tiga isu utama ini menerima undi tertinggi dalam kajian pengundi Selangor yang menyentuh kehidupan mereka.

“Sebahagian daripada mereka mula berasa Umno tidak lagi menjaga kepentingan mereka,” Redzuan memberitahu The Malaysian Insight.

“Dulu Umno dilihat sebagai membantu (orang Melayu) dan  pelindung mereka tetapi Umno kini tidak lagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya, ekoran rakyat lebih terdedah dengan pelbagai maklumat daripada media sosial contohnya seperti skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seorang lagi pengkaji berkata gerakan yang dilakukan  Bersatu akan memberikan impak kepada Umno tetapi ia juga bergantung kepada imej dipamerkan parti itu kepada orang Melayu.

Sekiranya Bersatu dilihat lebih rapat dengan DAP, mungkin akan memberi kesan negatif terhadap sokongan undi Melayu kepadanya, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

“Mereka beralih arah kepada Bersatu kerana tidak suka dengan kepimpinan Najib. Jadi Dr Mahathir mendapat simpati mereka. Pada masa sama, mereka juga sangsi dengan DAP,” kata Ibrahim.

Kekuatan parti PH

Menurut Hisommuddin, kekuatan PKR ada dua iaitu Anwar Ibrahim dan pemimpin muda seperti Rafizi.

Bagaimanapun, sejak pemenjaraan Anwar pada 2015, sesetengah mula terpisah daripada parti.

Oleh itu, PKR kini perlu bijak memainkan isu yang memberi impak secara langsung kepada pengundi, kata Hisommuddin.

Masalah terbesar PKR adalah kebergantungan kepada parti Melayu seperti Amanah dan PAS.

Tetapi dengan PAS keluar daripada PH, ia hanya mempunyai Amanah untuk bergantung dan masih banyak yang belum diuji. Keadaan ini menjadi lebih rumit kerana demografi Amanah hampir sama dengan PAS.

“Saya rasa langkah yang diambil Husam Musa di Kelantan adalah betul untuk Amanah. PAS perlu dicabar oleh Amanah dengan pelbagai program ceramah, penambahan ahli dan cawangan baru,” kata Hisommuddin.

“Di Kelantan, program ini pula dibuat ‘live streaming’ melalui media sosial dan menularkannya. Dengan itu satu Malaysia tahu mengenai pergerakannya dan memberikan harapan kepada Amanah,” katanya.

Bagi PAS, parti itu akan kekal sendiri sebagai parti Islam tunggal di mana kekuatan juga menjadi kelemahannya.

Sebelum ini, PAS sentiasa bergantung kepada mereka yang kecewa dengan Umno untuk menyertainya. Tetapi hari ini, PAS perlu berdepan dengan bukan satu tetapi tiga pihak lain – Bersatu, PKR, Amanah – bagi undi protes.

“Mereka mempunyai sedikit harapan apabila mengadakan Himpunan RUU355 (usul untuk meminda kuasa Mahkamah Syariah) di Kuala Lumpur baru-baru ini,” kata Hisommuddin.

Bagaimanapun, mereka yang menerima keuntungan daripada perhimpunan itu menerima tamparan apabila BN menarik sokongannya terhadap rang undang-undang itu pada minggu lalu.

Masalah lain yang dihadapi PAS adalah usaha melaksanakan RUU355 membuatkan mereka hilang banyak pengundi bukan Islam, kata penyelidik.

“Isu hudud tidak serasi dengan banyak pengundi yang lebih mengambil berat tentang isu lain seperti keperluan asas seperti masalah kos hidup yang tinggi.” – 5 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Malay Tsunami will wipe PH out of Malaysia. PAN and PPBM will be lucky is they can walk away with their election deposit. PKT will lost 80% of their seats. DAP will lost 50% of their seats. Adios PH... Bye bye

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan