Bersatu kerana makanan dan rungutan, belia Malaysia mahu lebih lagi


Low Han Shaun Yap Pik Kuan

MASA depan sudah bersuara, dan mereka ialah generasi muda. Melihat kembali 60 tahun kemerdekaan, ia mungkin nostalgik untuk mendengar generasi tua bercerita indahnya zaman lalu, tetapi kini juga adalah masa mendengar apa yang ada pada masa depan.

The Malaysian Insight menemu bual beberapa anak muda Malaysia mengenai apa yang menyatupadukan kita.

Penyanyi Yunalis Mat Zara’ai, 30, atau lebih dikenali sebagai Yuna berkata pelbagai perkara dilalui negara ini sejak 1957 dan orang ramai “menerima warisan budaya antara satu sama lain”.

“Perbezaan budaya ini menyatukan kita dalam pelbagai cara yang boleh dilihat menerusi kehidupan harian kita.”

Sudah tentu jika ada satu perkara yang menyatukan rakyat Malaysia, ia pastinya makanan, kata Yuna.

“Makanan! Untuk sarapan tidak kira siapa anda, kita selalunya akan makan roti canai, nasi lemak atau mi wantan.”

Penyanyi, penulis lagu dan usahawan dari Kedah itu berkata “menjadi rakyat Malaysia bermaksud berasa bangga dengan budaya, warisan dan tidak takut menjadi siapa diri kita”.

Yuna berkata beliau berharap Malaysia lebih terbuka kepada perkara baharu, tetapi terus mengekalkan budaya dan akar umbi yang dipertahankan selama lebih 60 tahun.

Katanya, beliau juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Numan Afifi, pengasas dan presiden Kempen untuk Kesamarataan dan Inisiatif Hak Asasi Manusia Pelangi berkata maksud merdeka berbeza bagi setiap orang.

“Bagi sesetengah orang, ia kemakmuran dan kekayaan. Jadi di Kuala Lumpur kita ada jumlah jutawan teramai.

“Tetapi kadar pengangguran belia kita tiga kali berbanding purata nasional, dan graduan kita yang bertuah dapat kerja, lebih separuh daripadanya dapat gaji kurang RM2,000 sebulan,” kata Numan.

Penggerak kempen Pelangi berusia 26 tahun yang berusaha membangkitkan kesedaran mengenai hak lesbian, gay biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia berkata kepelbagaian dan sejarah adalah kuasa yang menyatukan rakyat.

“Tanah air kita mengalu-alukan sebegitu banyak perbezaan budaya, komuniti dan identiti sebelum kuasa kolonial melagakan kita. Terpulang kepada kita untuk meraikan perbezaan dan sedar yang kekuatan kita tidak wujud di sebalik perbezaan kita, tetapi sebenarnya ia punca kekuatan ini.”

Katanya, golongan belia sepatutnya menjadi penggerak pembinaan bangsa.

“Tidak mengapa untuk menjadikan ahli politik lama sebagai inspirasi, melihat kepada pengalaman dan sumbangan mereka kepada negara, tetapi kebanyakannya tidak tahu betapa sukarnya kelas pertengahan hendak hidup, terutama golongan muda.”

“Tidak boleh diterima apabila struktur politik di majlis tempatan, dewan undangan negeri dan Dewan Rakyat masih didominasi oleh wajah tua yang sama,” katanya.

Numan juga sedang menunggu biasiswa profesional di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Amerika Syarikat (AS) pada Oktober. Beliau salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dipilih oleh kerajaan AS untuk menyertai program pengukuhan pembangunan kepimpinan dan jaringan di Asia Tenggara.

Madihah Akmal, strategis kempen untuk Invoke, badan pemikir yang menguruskan data pilihan raya dan kaji selidik, bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza mengenai Merdeka.

“Saya rasa kita sudah pergi jauh dalam pembangunan struktur, tetapi secara sosialnya saya tidak fikir kita sudah ke mana pun, berbanding Singapura,” katanya yang berusia 24 tahun.

Katanya, fokus negara terhadap Hari Merdeka pada 31 Ogos, bukannya Hari Malaysia pada 16 September menyebabkan warga Sabah dan Sarawak rasa terpinggir.

“Bapa saya yang kini menetap di Kuching dan banyak menghabiskan masa di sana dan Borneo beritahu mereka rasa terpisah dan tidak anggap diri sebagai rakyat Malaysia.

“Kita nampaknya tidak ada kehendak politik untuk merapatkan jurang itu. Kita tidak peduli tentang rakyat Sabah dan Sarawak. Kita seolah-olah kata kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang anda bukan sebahagian daripada hari kemerdekaan ini (31 Ogos),” katanya.

Madihah berkata jika ada satu perkara yang menyatukan rakyat Malaysia, ia adalah kemampuan mereka untuk “merungut”.

“Perpaduan kita di dalam pembangkang kita, perpaduan kita ada dalam rungutan kita. Jika anda rasa kerajaan sentiasa menekan golongan kelas bekerja, ia boleh menjadi faktor penyatuan.

“Contohnya, kita lihat Bersih, berulang kali, sama ada anda kata Bersih sudah jadi seperti satu sambutan atau perkumpulan setiap tahun, kita masih boleh kata ia mampu menarik orang ramai datang dan berhimpun sehari untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan,” katanya.

Untuk tahu lebih banyak apa yang golongan muda di Malaysia fikirkan, tonton Jay Jay Denis, penganalisis politik; Anis Syafiqah, aktivis pelajar; Chan Hao Shan, bakal doktor termuda di Malaysia; bintang YouTube Malaysia, Heidy Quah, Queen Elizabeth penerima anugerah pemimpin muda; Suzanne Ling dari The Picha Project dan pelukis komik Amin Landak, dalam video di atas. – 1 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen