SPRM belum ambil keterangan pegawai DBKL kes kontrak RM60 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kontrak sungai sekitar KL termasuk projek River of Life dikatakan dipenuhi korupsi pegawai DBKL, SPRM sudah memulakan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum merakam keterangan kira-kira 20 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini disiasat berhubung kes kebocoran maklumat kontrak RM60 juta.

The Malaysia Insight difahamkan semua kakitangan yang merupakan rakan sekerja dalam unit di bawah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar (JKPB) bagaimanapun dalam pemantauan SPRM.

Pengarah Siasatan SPRM Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Belum dirakam keterangan. Kami sedang meneliti dokumen dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.

Sabtu lalu, The Malaysian Insight mendedahkan kira-kira 20 kakitangan DBKL kini disiasat berhubung kes kebocoran maklumat kontrak bernilai RM60 juta.

Datuk Bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, kesahihan senarai yang dibocorkan itu juga masih diragui.

Senarai berkenaan disiarkan di Facebook oleh seorang aktivis Umno Zaharin Yasin.

Beliau percaya kartel yang mengawal pegawai DBKL yang terlibat.

“Sebab itu kita panggil kartel. Mereka yang kawal pegawai ini,” kata Khalid.

Untuk memecahkan dominasi kartel terbabit, kerajaan menjalankan penilaian semula ke atas kontraktor pembersihan sungai.

“Jadi yang dapat (kontrak bersihkan sungai) ini semuanya kontraktor baharu,” kata ahli Parlimen Amanah itu lagi.

Beliau mengancam mengemukakan saman ke atas aktivis Umno tersebut dan menuntut permohonan maaf. – 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen