ANTARA staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini disiasat badan pencegah rasuah difahamkan terlibat secara langsung dengan projek pengindahan sungai di Kuala Lumpur, River of Life.
Sumber DBKL menyebut, kakitangan berkenaan yang berkhidmat dalam satu jabatan terlibat dengan perancangan dan pelaksanaan program loji rawatan air buangan bawah projek itu.
Turut disiasat adalah pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek kutipan sampah sungai, pembersihan kelodak sungai dan baik pulih tebing, kata sumber.
“Mereka banyak terbabit dalam aspek projek dan teknikal sungai-sungai dan dipercayai selama ini hanya memberikan projek kepada syarikat tertentu yang membayar mereka,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Mereka merupakan antara 20 orang yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kebocoran maklumat tender pembersihan sungai berjumlah RM60 juta.
Kesemuanya yang bertugas dalam satu jabatan difahamkan akan ditukar ke jabatan lain selepas sambutan Tahun Baharu Cina sementara siasatan berjalan.
Semua 20 pegawai itu difahamkan sudah lama bertugas di DBKL dan didakwa mengawal semua projek berkaitan sungai yang biasanya membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM1 juta setiap kontraktor.
Dalam projek kerjasama melibatkan pelbagai agensi dalam River of Life itu, DBKL mengetuai projek pengindahan lapan batang sungai yang keseluruhannya sepanjang 110 kilometer.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada Rabu juga mendedahkan kumpulan pegawai berkenaan dikawal oleh ‘kartel’ terdiri daripada kontraktor yang sebelum ini mendapat projek terbabit.
Katanya, usaha kementerian itu yang bertanggungjawab ke atas DBKL itu kini adalah untuk memecahkan dominasi kartel terbabit, katanya.
Antara usahanya adalah dengan menjalankan penilaian semula ke atas kontraktor pembersihan sungai dan melantik barisan kontraktor baharu, kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
Kes tersebut timbul pada minggu ini berikutan pendedahan satu senarai didakwa sebagai kontraktor baharu yang didakwa mendapat projek terbabit.
Senarai berkenaan disiarkan di Facebook oleh seorang aktivis Umno Zaharin Yasin sejak Selasa.
Khalid enggan mengesahkan sekiranya senarai 30 kontraktor yang didedahkan itu merupakan nama-nama syarikat baharu yang sememangnya terpilih untuk mendapat projek berkenaan.
Beliau mengancam mengemukakan saman ke atas penulis blog Umno tersebut dan menuntut permohonan maaf.
Susulan itu, Zaharin didapati memadaamkan tulisan dan gambar yang menyenaraikan kontraktor didakwa sebagai syarikat penerima kontrak baharu.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai siasatan itu namun enggan mengulas lanjut kerana ia baru dimulakan.
“Pegawai saya masih di lapangan. Akan maklum jika ada perkembangan,” katanya. – 2 Februari, 2019.
Komen