MH370 hilang dari pandangan, kekal dalam ingatan


Thor Kah Hoong

PADA 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, membawa 12 anak kapal yang berkhidmat melayan 227 penumpang daripada 15 negara.

Pada 1.19 pagi, pusat kawalan menerima panggilan suara terakhir pesawat itu. Tiga minit kemudian, ia hilang daripada radar awam dan menjadi misteri yang tidak berkesudahan.

Radar tentera Malaysia mengesan pesawat hingga 370km di barat laut Pulau Pinang di Laut Andaman. Pencarian sia-sia hingga ke Lautan Hindi dilakukan, akhirnya mendorong penggantungan pencarian sehingga data dianalisis semula – walaupun terdapat penemuan serpihan pesawat terdampar di pantai di negara Afrika.

Hanya itu yang diketahui. Selebihnya tidak berjawab, ia bertambah kelam dengan begitu banyak teori konspirasi di sebalik kejadian itu.

Seramai 239 hilang, bukan sahaja lenyap dalam kepekatan malam tetapi juga daripada kehidupan dan ribuan ahli keluarga dan rakan.

Kehidupan 239 waris adalah kisah penuh emosi – luar biasa, emosi yang melampau. Pada peringkat awal mereka bersedia menerima segala kemungkinan, namun masih menaruh harapan adanya penyudahan gembira kerana kegagalan mengatakan apa yang berlaku kepada pesawat dan di mana ia berada juga bermakna masih wujud harapan, tidak kira betapa kecil pun ia.

Dan mereka terpaksa menghadapinya, bukan hanya dengan emosi sendiri, tetapi juga anak-anak yang ditinggalkan.

Sejak hari yang dahsyat itu, semua emosi ditahan dengan tabah, berharap insan yang disayangi kembali bersatu.

Berikut adalah kisah emosi tiga pasangan anak kapal MH370 – Jacquita Gomes, isteri penyelia penerbangan, Patrick Gomes; Calvin Shim, suami ketua pramugari, Christine Tan; dan Lee Khim Fatt, suami pramugari Christine Loong.

Lee mendapat berita awal daripada kakak iparnya di Taiwan yang melihatnya di dalam Facebook. Satu perkara yang masih menjadi duri di hati Lee adalah tiadanya makluman kepada keluarga beberapa jam selepas pesawat itu hilang, ia diburukkan lagi apabila mereka terpaksa mendengarnya daripada kawan sejam atau lebih sebelum MAS menghubungi.

Jacqui pula bersikap lebih rasional dengan mengakui MAS mungkin tidak mempunyai SOP untuk keadaan seperti itu dan mengakui keluarga juga tidak mempunyai SOP menangani keadaan seperti yang berlaku terhadap MH370.

Shim sedang melakukan kerja rumah kira-kira jam 8.30 pagi, menyidai basuhan di belakang rumah apabila menerima berita penerbangan hilang daripada aplikasi kumpulan chatnya.

Calvin Shim menghargai keprihatinan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan moral kepadanya dan keluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 April, 2017.

Pada mulanya, beliau tidak terfikir kaitan dengannya, “kerana saya tidak tahu berapa banyak penerbangan ke Beijing. Mungkin ada banyak. Walaupun hati saya agak risau. Saya memeriksa jadual isteri, dan ia benar. Kemudian… fikiran saya tiba-tiba kosong.”

Jacqui mendapat berita daripada nenek seorang pelajarnya, yang menonton berita di CNN. Perkara pertama terlintas di fikirannya: “Saya tidak mendapat sebarang panggilan daripada MAS, jadi ia mesti okay.”

Berhubung panggilan telefon, Jacqui menghubungi seorang rakan suaminya, seorang juruterbang. Beliau tidak mengenali nombor penerbangan pesawat yang hilang. Jacqui berkata beliau tidak memberi perhatian kepada nombor penerbangan yang berubah, hanya destinasi yang dituju dan bila suaminya pulang, supaya arahan boleh dikeluarkan: “Cepat, ayah balik. Bersihkan rumah.”

Dua suami tidak bekerja tidak malu mengaku ia juga rutin mereka di rumah, sebelum isteri kembali dan mengadu tentang keadaan kucar-kacir rumah.

Berada di sekolah, Jacqui terpaksa menelefon untuk membangunkan anak perempuannya untuk menyemak jadual yang terlekat di peti sejuk.

“Saya sudah panik,” katanya, tetapi perlu menyembunyikannya kerana ada kanak-kanak berhampiran.

“Tetapi apabila anak perempuan saya berkata MH370, saya menjerit.”

Selepas menyuruh ibu bapa membawa pulang anak kerana beliau mahu pulang ke rumah berkumpul bersama keluarga, Jacqui mendapat panggilan daripada MAS.

Jacqui berkata: “Mereka bertanya, adakah kami boleh datang dan berjumpa anda. Saya panik, terkejut. Jadi, saya bertanya, ‘Kenapa anda ingin berjumpa saya? Mengapa anda mahu datang ke rumah saya? Apakah sebabnya? Mereka tidak memberikan sebarang alasan, hanya berkata mahu datang ke rumah.”

Jacqui bertemu wakil MAS dan dibawa ke lapangan terbang. Semua keluarga menerima kata-kata pujukan banyak pihak – jangan bimbang, pesawat akan ditemui tidak lama lagi, nasib mereka akan diketahui.

Suasana di sebuah hotel sangat membosankan tanpa sebarang aktiviti kecuali menghadiri taklimat harian, di mana tiada maklumat baru diterima. Banyak soalan ditanya, tetapi pihak berkuasa seperti keliru sebagaimana ahli keluarga.

“Sekejap mengatakan pesawat itu di sini, kemudian mengatakannya ada, tetapi mereka tidak tahu, dan tidak tahu bagaimana menangani keadaan. Lebih teruk lagi, mereka sering berkata perkara yang bodoh,” katanya.

Mereka yang dimaksudkan adalah jurucakap kerajaan dan syarikat penerbangan. Mereka mungkin bermaksud baik dengan mesej yang memberi harapan tetapi bagi yang dalam keadaan  tidak tentu arah dan tertekan, ia tidak berkesan.

Kata-kata seperti “bingung” dan “belum pernah terjadi sebelumnya” digunakan untuk menerangkan misteri dan kekurangan hasil dalam usaha mencari dan menyelamat multinasional menambah kekecewaan serta putus asa yang tiada siapa tahu.

“Seorang tentera berkata beliau bingung. Saya juga sedang bingung, sebab itu saya bertanya soalan,” kata Jacqui.

Bergelut mengatasi ketiadaan secara tiba-tiba dan tidak dapat dijelaskan suaminya, Jacqui tiada keinginan menerima “tambahan” ahli keluarga.

Respons Shim pula berbeza mengenai kesediaan kakitangan MAS berkongsi kesedihan dan kehilangan mereka.

“Saya mengambil kenyataan dan bantuan mereka dengan serius. Untuk beberapa hari pertama, saya tidak berani pergi ke taklimat, saya amat takut. Tetapi apabila saya pergi untuk kali pertama, saya mengambil apa yang mereka katakan tentang bantuan secara serius. Saya bertanya kepada ketua pegawai eksekutif MAS untuk nombor telefon peribadinya.

“Beliau berkata setiausahanya akan memberikan kepada saya. Apabila saya tidak mendengar daripada setiausahanya, saya menelefon pejabat tetapi tidak berjaya bercakap dengannya. Saya kemudian berputus asa. Ketua pengarah daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Azharuddin memberikan nombor telefon bimbitnya dan saya berkomunikasi dengannya. Tetapi ketua pegawai eksekutif MAS…

“Penjaga daripada MAS paling rapat dengan ahli keluarga, dan apa yang mereka boleh lakukan ‘dapatkan kami ini, dapatkan itu’, bertanya apa lagi yang mereka boleh lakukan. Apa lagi yang mereka boleh buat? Tiada apa-apa.”

Membuatkan ia lebih teruk, Lee mengingati seorang Adun yang memberi jaminan pesawat akan ditemui selepas Hari Raya.

“Sama ada anda boleh mengesahkannya, atau anda tidak boleh sekadar bercakap untuk sekadar menyedapkan hati,” kata Lee.

Selepas tiga hari tinggal di hotel, “tidak dapat berbuat apa-apa, tidak tahu apa yang berlaku, taklimat tidak berguna”, Jacqui menjadi kacau bilau dan mengambil keputusan pulang ke rumah.

Beliau tidak faham bagaimana keluarga lain boleh bertahan sebulan di hotel, tanpa fakta konkrit untuk mengusir pemikiran yang tidak berkesudahan tentang segala kemunginkinan.

Selepas seminggu atau lebih, beliau memberitahu anak perempuan tiada gunanya bersedih di dalam rumah, kembali bekerja. Kesan emosi di rumah lebih teruk, kerana semua yang Jacqui lakukan, bangun pagi dan menonton TV yang sudah tersedia dipasang, kerana setiap malam selalu tertidur di atas sofa sambil menukar saluran TV yang ada dengan harapan mendapat berita terkini berkenaan pencarian pesawat.

Lee tidak mahu tidur. Setiap malam melayari Internet mencari sesuatu yang baru, sebarang maklumat untuk dijadikan harapan.

Mereka berpaut pada harapan menerima berita gembira, pada peringkat awal, usaha mencari pesawat itu digambarkan sebagai misi “mencari dan menyelamat” pada taklimat harian. Kemudian ia menjadi misi “mencari-dan-menemui”, dan akhirnya, segala usaha yang dilakukan tidak berhasil.

Kini, satu-satunya harapan bagi pengakhiran kisah ini adalah perisytiharan daripada pihak berkuasa yang pemberhentian pencarian akan membolehkan data dianalisis semula oleh pakar teknikal lain.

Lee berharap semua data yang ada dapat dianalisis semula pihak lain yang mungkin menemui kesilapan pihak sebelumnya dan berjaya memperolehi sesuatu.

Adakah ada satu hari apabila aktiviti rutin harian membenarkan mereka melupai seketika insan yang tidak lagi hadir di sisi?

Tidak satu hari berlalu, tegas Jacqui, tanpa beliau memikirkan suaminya. Terdapat terlalu banyak peringatan harian yang boleh mencetuskan badai emosi.

Sebagai contoh, cucu Raphael belajar bersiul. Ia mengingatkan Jacqui yang Patrick tidak mampu melakukannya.

Ketika pertama kali bersua Jacqui ketika berusia 12 tahun di Singapura, beliau tidak dapat bersiul bagi menyatakan penghargaan terhadap kecantikannya, malu mendorong beliau menyembunyikan dan menyuruh adiknya bersiul bagi pihaknya.

Hanya pada tahun ke-10 perkahwinan mereka, Patrick mengaku muslihatnya.

Setiap tahun pada hari seperti Chap Goh Meh, dengan tradisi mencampak oren ke kolam dan laut dengan doa mencari pasangan, akan mengingatkannya jenaka Patrick yang beliau terpaksa membuang tembikai kerana cintanya tidak mudah dimiliki.

“Atau dalam kereta… saya akan mula bercakap dengan dia. Awak tahu Patrick, hari ini Raphael buat… dan ia sentiasa berakhir dengan; dan jika anda berada di sini untuk melihatnya.”

Jika ada penutupan bagi kisah yang tergantung dan kehidupan mempunyai noktah. Tetapi dengan tiadanya perkara yang mampu menyingkirkan semua kesedihan, Jacqui, Shim, Lee, dan keluarga lain yang terjejas hanya mampu menjalani kehidupan dengan terus tabah dan bertahan. – 4 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen