Merdeka dengan melawan


Noor Azam Shairi

Sempena Merdeka soalan yang perlu ditanya adalah adakah kepembangkangan satu pengkhianatan? – Gambar EPA, 31 Ogos, 2017.

PEMANDU teksi itu mengalihkan matanya beberapa kali, dari jalan raya yang belum begitu sesak di depan ke cermin tempat duduk di sebelah kiri. Nampak benar dia terganggu. Setiap kali yakin tak ada masalah di depan, dia menoleh ke kiri melihat Jalur Gemilang yang kini terjuntai di bucu kiri bumbung teksi.

“Baru saja pasang tadi. Ada orang bagi di hujung sana. Tapi tak mahu melekat elok,” katanya.

“Tak apa, pakcik. Bendera, kita kibar dalam hati,” kata saya.

Pakcik itu ketawa besar.

“Ya, bendera… kita kibar dalam hati,” balasnya.

Saya menumpang teksi itu dekat saja, tidak sampai 3 kilometer, dari sebuah kedai kopi balik ke pejabat semalam, tidak sampai 12 jam sebelum tengah malam Merdeka. Entah kenapa suasana ambang Merdeka tidak begitu terasa. Tidak banyak kereta memasang bendera.

Pemandu teksi itu tidak banyak bercakap tetapi sempat juga dia mengadu hal tentang, apalagi, kalau bukan Grab dan Uber yang dirasakan menganggu periuk nasinya.

Dia mengutuk-ngutuk kerajaan yang membenarkan perkhidmatan kongsi kereta itu masuk ke negara ini, tanpa dia cukup memahami debat lebih besar tentang bisnes seumpamanya yang kini menonjol dalam kehidupan masa kini —  penggendala atau pencipta (disruptor or innovator) ekonomi.

Ada satu hal yang jelas. Pemandu teksi itu marah-marah kepada kerajaan tetapi dia juga sayangkan tanah airnya. Mulutnya mencaci maki hidup yang dipaksakan ke atasnya tetapi dalam hati berbunga rasa cinta pada negara. Kedua-duanya berbaur dalam sebatang tubuh.

Aneh? Tidak, kalau kita waras, tahu pakai otak dan tidak mudah kena tipu.

Yang dimarahi itu kerajaan; yang dikasihi itu negara. Yang dimarahi itu manusianya; yang dikasihi itu tanah airnya. Kerajaan boleh datang dan pergi, pemimpin juga boleh dicari tetapi tanah air ibu pertiwi tidak ada galang ganti.

Marah dan cinta yang berbaur itu hanya jadi aneh kalau misalnya kita menerima retorik politik yang kerap kita jumpa di sesetengah media atau dengar dari mulut sesetengah pemimpin: bahawa setiap penentangan dan perlawanan, setiap bantahan dan teguran kepada kerajaan adalah gerakan untuk merosakkan negara.

Tidak semua rasa cinta pada tanah air ini dizahirkan dengan puji-pujian. Kritikan atau peringatan, bantahan atau penentangan juga adalah bukti kasih dan sayang pada negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Ogos, 2017.

Kepembangkangan di negara ini — barangkali hanya di negara ini, seolah-olahnya satu jenayah. Lebih daripada itu, ada juga masanya penentangan, perlawanan, bantahan dan teguran itu dijawab dengan retorik agama sehingga menjadikan kepembangkangan satu dosa. Habis hujah patriotisme, jawab dengan hujah syurga neraka.

Apakah hanya ada satu suara saja yang dibolehkan, sehingga suara-suara dengan nada yang berlainan jadi jenayah, atau dosa?

Apakah kepembangkangan satu pengkhianatan? Kenapa kepembangkangan tidak dilihat sebagai satu juga aksi mengisi kemerdekaan?

Selalu apabila ada kritikan atau peringatan, bantahan atau penentangan, mereka yang menegur dan membangkang itu dicap mahu menjahanamkan negara, merosakkan segala yang sudah dibina dan menghancurkan masa depan. Soalnya, kenapa?

Kenapa susah sangat untuk kita menerima dan mengakui bahawa mereka yang menegur dan membangkang ini juga warganegara — lahir dan matang di negara ini, dan suatu hari nanti, mati juga di negara ini. Mereka tidak ada tanah air yang lain selain Malaysia. Malaysia yang sama inilah tanah air mereka.

Kalau tuduhan yang dicampakkan kepada mereka itu benar — bahawa mereka ini pengkhianat, perosak, penjahanam negara — dan kalau gerakan mereka itu berjaya, lalu apa?

Menerima retorik politik itu, yang adakalanya dibalut dengan retorik agama, kita yang waras dan masih menggunakan otak berfikir ini wajar bertanya: Sekiranya gerakan kepembangkangan itu berjaya, dan negara ini musnah binasa, mereka yang berjuang itu sebenarnya mahu ke mana?

Apa masuk akalnya berjuang untuk kemudiannya apabila berjaya, menderita kerana negara hancur berkecai? Tidakkah kepembangkangan itu sebenarnya mahu menyelamatkan negara daripada porak peranda?

Itu sebabnya kerja kepembangkangan ini bukan satu kerja yang semua orang boleh tahan. Ada yang patah balik selepas separuh jalan. Ada yang kalah sebelum tamat permainan. Memang mudah untuk putus asa tetapi seperti pesan video Merdeka ini, putus asa bukanlah pilihan yang ada.

Pada hari Merdeka seperti ini, kita selalu mendengar ucapan yang diulang-ulang di radio dan televisyen, di mimbar dan podium: “cintailah negara”, “kenanglah jasa”, “hargailah pengorbanan”, “syukurilah nikmat”.

Semua kata-kata itu kita telan dan hadam setiap tahun — merdeka datang dan pergi, dan datang lagi. Kita menerima pesan-pesan itu, tanpa bertanya apa-apa. Kita kemudian mengulang-ulangnya seperti burung tiung yang diajar bercakap: “cintailah negara”, “kenanglah jasa”, “hargailah pengorbanan”, “syukurilah nikmat”.

Kita percaya, semuanya. Kita percaya, terlalu percaya, sehingga apabila datang kritikan atau peringatan, bantahan atau penentangan, kita menganggap semua itu sebagai satu pengkhianatan.

Tidak semua rasa cinta pada tanah air ini dizahirkan dengan puji-pujian. Kritikan atau peringatan, bantahan atau penentangan juga adalah bukti kasih dan sayang pada negara.

Ini bukanlah bermakna bahawa merdeka itu hanya dengan membangkang. Ini sama seperti debat ayam dan telur — membangkang kerana merdeka, atau merdeka kerana membangkang?

Bukan, bukan itu soalnya. Ini sebenarnya persoalan cogito ergo sum (aku berfikir, maka aku ada) seperti yang dibahaskan oleh ahli falsafah. Aku melawan, maka aku ada. Bahawa melawan adalah tanda wujud diri dalam masyarakat, kerana berdiam diri di tengah-tengah kebusukan yang tidak dapat diselindung lagi menandakan diri sudah mati, mayat hidup yang tidak mengerti apa-apa lagi.

Merdeka tidak semestinya hanya dengan puja dan puji. Merdeka juga boleh dirayakan dengan carut-marut dan caci-maki — seperti pemandu teksi yang memasang bendera tetapi dalam hatinya tidak hanya ada puja dan puji. – 31 Ogos, 2017.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen