Pakatan perlu elak main isu bangsa dan agama, kata Kit Siang


Chan Kok Leong Andrew Chin

Lim Kit Siang mengingatkan agar Pakatan Harapan tidak terperangkap dengan helah digunakan Najib Razak untuk mendapatkan sokongan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Februari, 2019.

PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang mengenal pasti dua “perangkap” yang Pakatan Harapan  (PH) perlu ambil perhatian dan tidak terjebak: penggunaan berterusan isu bangsa dan agama oleh Barisan Nasional (BN) serta menyingkirkan pengaruh percubaan Najib Razak untuk menguasai naratif media sosial.

Mengambil contoh daripada kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini, ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kekalahan pertama parti pemerintah dalam lima PRK sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak boleh menggagalkan rancangannya memperbaharui negara.

“Adalah penting untuk kita tidak membenarkan halangan sedemikian memalingkan kita daripada matlamat utama kita iaitu membina sebuah Malaysia Baharu untuk mempunyai kerajaan yang dan peraturan undang-undang yang bersih serta negara yang lebih bersatu,” kata ahli Parlimen 11 kali kepada The Malaysian Insight dalam temu bual pada Jumaat.

Menurut beliau, penggunaan isu kaum dan agama adalah untuk menimbulkan ketakutan, kebencian dan ketidakpercayaan di mana pada akhirnya Malaysia akan berakhir sebagai negara yang gagal.

“PH mesti terus yakin dengan masa depan dan bukannya jatuh ke dalam perangkap ini. Ia mesti membina kepercayaan, toleransi dan penghormatan lebih baik antara rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama serta memanfaatkan kepelbagaian kita untuk menjadi negara kelas atasan,” kata ahli politik berusia 77 tahun itu.

Pada masa yang sama, bekas perdana menteri Najib Razak sedang mempergiatkan kempen peribadinya, tanpa mengira perbicaraannya di mahkamah bagi 42 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa,  jenayah pecah amanah dan mengubah laporan - semua berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) - semakin hampir.

Najib akan berdepan pertuduhan pertama, yang melibatkan anak syarikat 1MDB, SRC International Bhd, bermula 12 Februari.

Bekas presiden Umno itu membantu BN dalam PRK Cameron Highlands yang beliau gunakan sebagai pelancar bagi kempen peribadinya dikenali sebagai “Malu Apa Bossku” dan meneruskan siri jelajahnya ke Kedah dan Langkawi sepanjang Tahun Baharu Cina.

Kesempatan beliau bertemua rakyat di tempat acara berlangsung dirakam dan gambarnya dipaparkan di Facebook peribadinya.

Lim berkata PH mesti mengambil serius tindakan Najib dan tidak meremehkan kesannya.

“Berkaitan dengan Najib, beliau ingin mengelak dari pergi ke Sungai Buloh (penjara).

“Sama ada ia akan menyelamatkannya atau tidak, saya (ragu), tetapi beliau mesti diambil serius,” kata Lim.

Najib mungkin akan kembali semula dengan mendabik dada di PRK Semenyih yang bermula pada 16 Februari dan berakhir pada 2 Mac dengan hari mengundi.

Ia akan menjadi arena seterusnya di mana parti komponen PH, Bersatu akan menghadapi kekuatan gabungan Umno-BN dan PAS.

Najib Razak meneruskan siri jelajahnya di Langkawi untuk bertemu para penyokongnya yang dilihat sebagai kempennya untuk kemunculan semula dalam arena politik negara. – Gambar Facebook, 3 Februari, 2019.

Walaupun PH bergantung kepada mesej antirasuah yang digunakan pada PRU tahun lepas, Umno dan PAS menggunakan retorik kaum dan agama untuk memenangi undi terhadap kerajaan persekutuan, seperti yang dilihat di PRK Cameron Highlands.

Dalam pilihan raya itu, kempen Umno dan PAS berjaya di kawasan Jelai yang didominasi Melayu, membolehkan BN mengekalkan kerusi persekutuan.

Walaupun kerjasama Umno-PAS tidak boleh digugat dengan mudah, Lim berkata PH dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya berputus asa. – 3 Februari, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen