Pakatan perlu imbangi tuntutan rakyat, pulih ekonomi negara, kata Wan Azizah


Christopher Rabin

Pakatan Harapan menyedari hasil tinjauan yang menunjukkan 60% orang Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan dan akan mengatasi keadaan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2019.

PUTRAJAYA menyedari hasil tinjauan yang menunjukkan 60% orang Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan dan akan mengatasi keadaan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Ya, saya sudah baca tinjauan itu, saya perlu ambil perhatian kerana ini adalah pendapat rakyat,” kata ahli Parlimen Pandan itu selepas mengedarkan limau kepada penduduk di kawasannya di pasar Taman Musa pagi tadi.

Beliau berkata menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) sedang menyesuaikan diri dengan “realiti” mentadbir kerajaan selepas selama ini menjadi pembangkang dan ini perlu dilakukan dengan cepat untuk menangani rasa tidak puas hati rakyat.

Namun, Wan Azizah mengakui PH berdepan cabaran besar dalam mengimbangi semua tuntutan rakyat dan pada masa yang sama perlu memulihkan ekonomi negara.

“Kita perlu ambil perhatian dan lihat bagaimana untuk imbangi (perkara), apa yang kita mahu buat dan apa yang popular.

“Bagaimanapun, kita juga harus pertimbangkan apa yang negara perlukan, seperti ekonomi, kita perlu stabilkan ekonomi,” kata beliau yang juga presiden PH.

Wan Azizah mengulas mengenai tinjauan yang dijalankan oleh Ilham Centre dan Penang Institute yang mendapati 60% responden Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu.

Kajian yang dijalankan antara hujung Oktober dan Disember lalu itu melibatkan 2,614 responden Melayu seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ramai responden tidak percaya kerajaan serius dengan “Agenda Melayu”, termasuklah perjuangan mempertahankan hak istimewa Melayu dan status Islam sebagai agama rasmi.

Lebih 60% responden juga percaya yang orang bukan Islam kini mengawal kerajaan dan DAP- parti komponen PH yang didominasi bukan Melayu dengan jumlah kerusi kedua terbanyak di Parlimen- sebenarnya yang berkuasa di Putrajaya. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen