Kajian dapati majoriti Melayu tak puas hati dengan Pakatan, tetapi masih berharap


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan diterajui Dr Mahathir Mohamad masih berdepan cabaran besar meraih sokongan Melayu Islam yang merupakan sektor pengundi terbesar, mereka perlu memecahkan naratif Melayu Islam dipegang Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2019.

LIMA bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, majoriti kecil orang Melayu atau 59.3% tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan baharu itu, menurut kajian dilakukan Ilham Centre dan Penang Institute.

Kajian itu melibatkan 2,614 responden Melayu seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, juga mendapati peratusan besar tidak percaya kerajaan serius dengan “Agenda Melayu”, termasuklah perjuangan mempertahankan hak istimewa Melayu dan status Islam sebagai agama rasmi.

Lebih 60% responden juga percaya yang orang bukan Islam kini mengawal kerajaan dan DAP- parti komponen PH yang didominasi bukan Melayu dengan jumlah kerusi kedua terbanyak di Parlimen- sebenarnya yang berkuasa di Putrajaya.

Dapatan kajian itu selari dengan kajian sebelum ini yang menunjukkan PH berdepan krisis kepercayaan dalam kalangan orang Melayu, mereka hanya berjaya meraih 17% undi Melayu Islam walaupun menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, disebalik peratusan agak tinggi tidak percaya kepada PH, lebih separuh mereka juga percaya PH berpotensi untuk berkuasa lebih sepenggal dan pentadbiran baharu itu boleh membentuk masa depan yang lebih baik untuk negara ini.

“Naratif Islam yang dibawa oleh PH sukar diterima oleh komuniti Melayu-Muslim kerana falsafahnya terlalu tinggi. Umumnya orang Melayu fikirnya mudah dan tidak mahu diberat-beratkan,” kata Dr Mohd Yusri Ibrahim yang merupakan felo dan ketua penyelidikan Ilham Centre tentang usaha PH menawan hati dan fikiran Orang Melayu.

“Untuk memenangi hati orang Melayu, Kerajaan perlu tampil dengan imej konservatif yang ke-Tengah, bukannya progresif atau konservatif ke-Kanan seperti PAS dan Umno.”

Kebimbangan pengaruh DAP

Kajian bersama dilakukan Penang Institute dan Ilham Centre itu mengkaji pandangan pelbagai kumpulan Melayu dalam pelbagai isu seperti mobiliti sosial, keagamaan, sikap terhadap demokrasi dan autoritatianisme, nasionalisme Melayu, konservatif agama, pendidikan, ekonomi dan sikap terhadap kerajaan.

Ia dijalankan menggunakan kaedah soal jawab bersemuka yang dilakukan antara 24 Oktober hingga 24 Disember 2018.

Secara umumnya, responden tidak berpuas hati dengan banyak isu melibatkan prestasi kerajaan. Antara hasil kajian yang berbaloi diberikan perhatian adalah:

*59.5% responden tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan sejak berkuasa pada PRU14, hanya 40.8% berpuas hati. 

*54.8% bersetuju yang kerajaan PH mengabaikan hak Melayu dan kepentingan Islam, 45.1% tidak bersetuju.

*50.1% merasakan PH tidak serius memenuhi janji pilihan raya berbanding hanya 49.8% yang percaya mereka serius.

*58.3% percaya kerajaan Persekutuan tidak serius menangani masalah kos sara hidup.

Majoriti responden juga didapati percaya dengan naratif Umno-PAS yang PH dikawal DAP dan mempromosi nilai liberal. Antara dapatan kajian tersebut adalah:

*62.9% percaya orang bukan Islam kini mengawal kerajaan Persekutuan selepas 9 Mei, berbanding 37.2% yang tidak percaya.

*62% percaya DAP mendominasi keputusan kerajaan berbanding parti komponen PH yang lain, 38% lagi tidak percaya.

*58.9% percaya kerajaan Persekutuan kini dipandu agenda liberal berbanding 41.1% yang tidak percaya.

Data yang menarik

Menyentuh isu kepimpinan dalam PH, 53.6% tidak bersetuju yang Dr Mahathir Mohamad wajar menghabiskan penggal lima tahun pentadbiran berbanding menyerahkan teraju kerajaan kepada Anwar Ibrahim seperti dirancang.

Malah, 51.9% juga bersetuju yang Anwar adalah pemimpin terbaik menggantikan negarawan yang sudah berusia 93 tahun itu sebagai perdana menteri.

Pelan perpindahan kuasa itu berulang kali dibangkitkan akan berlaku, tetapi tiada tempoh muktamad bilakah ia akan berlaku.

PH boleh menarik nafas lega apabila majoriti 64.2% memuji usaha kerajaan menghapuskan budaya rasuah dan membina budaya integriti.

Malah 53.2% responden juga percaya PH tidak cuba menghapuskan sistem Raja Melayu berbanding 46.8% yang percaya wujud usaha itu.

Walaupun rakyat semakin kritikal terhadap prestasi PH, kebanyakan responden (54.4%) melihat wujud masa depan yang lebih baik untuk Malaysia di bawah pentadbiran PH.

Dan walau apa pun kata pengkritik tentang masa depan PH, kajian itu mendapati 52.3% responden percaya kerajaan PH boleh bertahan lebih sepenggal di Putrajaya. – 31 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen