60 tahun selepas merdeka, pluralisme budaya semakin hilang


Pluralisme dan kepelbagaian unik dimiliki Malaysia dihapuskan secara sistematik oleh oportunisme politik. – Gambar fail EPA, 31 Ogos, 2017.

MALAYSIA sebuah tempat yang istimewa kerana geografi semula jadinya dan sejarah manusianya, tetapi lebih penting lagi, kerana demografinya yang kompleks.

Menganjur sebagai sebuah semenanjung di hujung sebelah barat aliran sistem angin Teluk Benggala; terletak di antara tamadun yang besar dan berpengaruh; dan dianugerahi cuaca yang ramah, laut yang pemurah dan budaya pesisir yang berkembang sendiri-sendiri tetapi berhubung antara satu sama lain, penduduk yang terasing yang berdagang sesama mereka dan agak kosmopolitan dengan cara yang pada ketika itu – dan kini – sangat berbeza dengan kerumitan metropolitan pusat tamadun lain di dunia.

Aktor baru dari Eropah masuk ke pentas dan orientasi mereka lebih global cakupannya dan jauh lebih mampu mengubah masyarakat dan tempat, berbanding mereka yang datang sebelumnya. Mereka membawa ke rantau ini apa yang kita panggil sebagai “zaman moden”.

Kedatangan mereka ini juga membawa bersamanya struktur ekonomi baru yang mempercepatkan penghijrahan dari dalam dan luar rantau.

British Malaya

British Malaya, pada ketika itu, sama ada kita mengiktirafnya atau tidak sekarang, menciptakan suasana demografi yang jauh lebih baharu.

Penduduk dalam Nusantara di semenanjung tersentak sama seperti penduduk dari luar Nusantara.

Lebih penting lagi, bentuk sosio-ekonomi baharu mula wujud, terkait rapat dengan ekonomi global mula muncul dibidani oleh Britain yang berdagang.

Hubung kait ekonomi, politik dan ideologi global yang mengiringi dan menyuburi perubahan demografi di semenanjung itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.

Itulah sebabnya kenapa Malaysia – dan lebih ketara lagi Singapura selepas 1963 – boleh tumbuh maju dari segi ekonomi selepas Merdeka pada 1957 berbanding negara-negara jirannya yang dikuasai oleh Belanda dan Perancis, serta Thailand yang terjajah sebahagiannya.

British Malaya secara keseluruhannya, biarpun dengan cara pentadbiran tidak langsung yang licik tetapi berkesan, adalah sebuah dunia yang lain tidak seperti Semenanjung Tanah Melayu yang ada sebelum lewat kurun ke-18. Kita katakan saja bahawa Pax Nusantara yang tradisional sudah diganti.

Penjajahan Jepun antara 1942-45 menandakan berakhirnya Pax Britannica tempat British Malaya boleh wujud dan berkembang dengan jayanya. Perang Dunia Kedua membawa orde dunia baru ke mari, dan perubahan tiba-tiba memberikan tekanan yang kuat pada British Malaya untuk bertindak balas segera dan berubah jadi sesuatu yang lain yang dapat bertahan dalam orde baru dunia, dengan sedikit mungkin gangguan dan kekacauan.

Apa yang kita nampak pada zaman selepas perang adalah, pada satu sisi, usaha tergesa-gesa untuk menyusun semula British Malaysia, dan pada sisi yang lain, untuk berubah jadi Pax Amerikana yang bagi rantau ini pada ketika itu tampak lebih ketara tentang Perang Dingin dan bukannya tentang hal-hal lain.

Sistem komunalisme

Bagi British, membenarkan pemimpin Malaya bandar mengambil alih kuasa adalah cara terbaik untuk memastikan komunisme kalah dan pengaruh ekonomi dan budayanya dapat diteruskan di Malaya selepas Merdeka. Dan ini dapat mereka capai – setidak-tidaknya sehingga 1969.

Apa yang paling membimbangkan British bukannya komunisme yang boleh dilawan dengan cara strategik dan ketenteraan; malah sebaliknya ialah komunalisme.

Mereka tahu Malaya yang baru dan pelbagai demografinya yang mereka cipta lebih 200 tahun perlu berubah dengan kesedaran baru yang akan membolehkan ia kekal bersatu dari segi politik dan teguh menjadi bahagian ekonomi global yang kapitalis.

Adanya formula Perikatan, yang kukuh pada pada 1955, jadi rahmat yang mententeramkan ketidakpastian yang menyelubungi dasar-dasar yang British laksanakan pada dekad yang menyusul selepas mereka kembali pada 1946. Dengan Merdeka, mereka boleh cuci tangan, dan memegang sedikit apa yang mereka mahu dalam genggaman.

Penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak pada 1963 menimbulkan masalah yang perlu diselesaikan, tetapi dengan sedikit input daripada Britain.

Malah, mereka hanya dimaklumkan tentang pemisahan Singapura pada 1965 hanya pada saat-saat akhir. Pemisahan itu, dan kekalnya Sabah dan Sarawak, dalam persekutuan dibayangi oleh ketegangan dan kebimbangan dalam masyarakat. Memastikan keamanan melalui konsensus antara kaum ialah dengan mengekalkan formula yang ada untuk kedamaian dan kemakmuran.

Semuanya berubah pada 1969.

Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi, yang dikaitkan dengan bangsa terjajah dan ekonomi penjajah yang bertukar jadi warganegara dan ekonomi negara, ada manfaatnya.

Namun melihat bagaimana seimbangnya sistem politik sebelumnya, perubahan politik dan pemikiran yang datang kemudian membolehkan generasi baru pemimpin Melayu mula cenderung bersikap memerintah dan bukan lagi atas persetujuan bersama.

Perubahan ini, selain daripada DEB, termasuklah:
– menentukan sempadan yang mengasingkan penduduk Kuala Lumpur daripada proses pengundian untuk negeri Selangor, tempat rusuhan 1969 meletus;

– menyekat kebebasan bersuara yang menyeluruh melalui pindaan perlembagaan dan langkah-langkah perundangan yang lain;

– menggabungkan hampir semua parti politik ke dalam sistem perikatan Barisan Nasional;

– dan paling mustahak, mengangkat United Malay National Organisation (Umno) kepada keutamaan dan penguasaan yang tidak boleh dicabar.

Istilah “Ketuanan Melayu” dan “Negara Islam” yang memikat dan berbau perkauman jadi kata-kata pilihan dalam wacana pemimpin Melayu dalam Umno. Malah, kekurangan pada yang pertama membawa kepada munculnya yang kedua.

Semua ini bukanlah satu cubaan merujuk kepada kemistikan “Tanah Melayu” yang ditadbir oleh orang “Melayu” seperti yang mungkin difikirkan oleh banyak orang, sebaliknya satu strategi yang lahir daripada tindak balas keterlaluan pada awal 1970-an yang mengambil kesempatan daripada rusuhan di Selangor. Apakah rusuhan itu sebahagian daripada rampasan kuasa terhadap Tunku Abdul Rahman, saya serahkan kepada orang lain untuk menentukan, tetapi 1970-an memunculkan satu politi Malaysia yang baru, yang didukung dengan hakikat bahawa Singapura sudah tiada manakala Sabah dan Sarawak kekal.

Seperti yang dikatakan tadi, apa yang menjadikan Malaysia sebuah Malaysia ialah kepelbagaian etniknya. Namun struktur kuasa pada awal 1970-an membolehkan orang Melayu yang digalakkan oleh Umno untuk membayangkan bahawa negara ini selama-lamanya dan harus kekal sebagai “Tanah Melayu” (dunia Melayu di darat).

Ini dilakukan biarpun adanya orang asal di rantau ini yang lebih tepat digambarkan hidup sebagai “Kelautan Melayu” (sebuah dunia Melayu di laut). Konsep negara bangsa ini tidak tepat apabila digunakan untuk menggambarkan wilayah kelautan.

Meruntuhkan kepelbagaian

Enam puluh tahun selepas Merdeka, rundingan masih diteruskan bagi mencari keseimbangan antara masyarakat yang boleh menjadikan Malaysia signifikan di peringkat global, berkuasa dari segi ekonomi dan dicemburui dari segi sosialnya. Tanggapan “Bangsa Malaysia” yang dijuarai pada awal dekad 1990-an yang makmur adalah satu cubaan seumpamanya.

Malangnya, apa yang berlaku sejak berdekad-dekad lamanya ialah Umno perlu mengekalkan masyarakat melayu sebagai pengundi tertawan serta merampas wacana negara dan menjadikannya dalam keadaan yang sentiasa menimbulkan perbalahan.

Pada suatu masa dahulu, perbalahan itu menyentuh soal integrasi dan asimilasi antara kaum. Kini, ia tentang sejauh mana pemisahan antara kaum.

Pendek kata, kalau dekad pertama selepas Merdeka adalah tentang mengukuhkan formula Perikatan, enam dekad berikutnya menyaksikan kelicikan meruntuhkan kepelbagaian budaya diperkemaskan. – 31 Ogos, 2017.

* Dr Ooi Kee Beng, Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang. Antara buku tulisannya termasuk “Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr Ismail dan Masanya” (ISEAS, 2006).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen