MB Johor tiada idea baru, kata Khaled Nordin


Khaled Nordin mengecam amanat Menteri Besar Johor Osman Sapian yang dikeluarkan semalam, mendakwa Pakatan Harapan Johor hanya mengitar semula idea pentadbiran BN sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2019.

MENTERI Besar Johor, Osman Sapian tidak mengemukakan idea baru untuk memajukan negeri sebaliknya hanya mengitar semula idea yang dibentangkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kata Khaled Nordin.

Kata Khaled, tiada perkara baru dalam Amanat Menteri Besar semalam kerana tiga perkara yang Osman bangkitkan sudah direncanakan dengan teliti oleh BN dahulu.

“Jadi, di mana idea besar dan pendekatan baharu menteri besar kali ini? Di mana nilai tambahnya? Di mana strategi susulan dan pendekatan segar yang dikongsikan dalam amanat tersebut?” kata bekas menteri besar Johor itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Osman dalam amanatnya semalam antara lain menyebut tiga perkara iaitu membangunkan Johor mengikut kekuatan setempat, menyiapkan Johor menghadapi revolusi industri baru serta memperkasakan kakitangan awam.

Khaled membayangkan Osman tidak tahu tujuan pentadbirannya dahulu mengadakan Majlis Amanat Menteri Besar, yang sekarang diteruskan oleh kerajaan baharu yang mentadbir negeri sejak Mei tahun lalu.

“Sesi Amanat Menteri Besar untuk tahun baru bukanlah sesi mengulang kaji pelajaran lepas dan membuat rumusan Bajet yang lalu sahaja. Ia jalan ke hadapan. Bukan masa mundur ke belakang,” katanya.

Jelas Khaled, amanat Osman lebih mengelirukan kerana beliau mencadangkan semua penjawat awam Johor bekerja seperti Dr Mahathir Mohamad.

Osman semalam berkata beliau berharap penjawat awam produktif dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab, selain bekerja dengan ikhlas.

“Saya mengharapkan supaya kita semua boleh mengguna pakai darjah kebesaran Kerja Seperti Mahathir (KSM) kerana konteks dunia semasa sudah berubah dengan cepat, rutin 8 pagi hingga 5 petang dilihat tidak sesuai dengan aspirasi kerajaan semasa,” katanya dalam amanatnya semalam.

Khaled bertanya, kalau semua hendak jadi ketua siapa yang hendak buat kerja kerana antara pencetus idea dan pelaksana dasar ada perbezaannya.

“Kalau kakitangan awam Johor disuruh bekerja seperti Mahathir, saya ingin tahu, menteri besar bekerja seperti siapa?” tanya Khaled.

Beliau juga menyoal, siapa yang Osman ikut apabila “sesuka hati menceroboh kawasan perairan yang dalam pertikaian”, merujuk pada lawatan menteri besar itu ke kapal Jabatan Laut pada 9 Januari lalu.

Tindakan Osman itu, yang malah tidak direstui Wisma Putra, menambah hangat hubungan Malaysia-Singapura ketika kedua-dua negara berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu tertunggak menyentuh soal sempadan. – 29 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen