Tiada kenyataan status ECRL buat masa ini, kata Guan Eng


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan selepas kerajaan bersedia untuk mendedahkan status sebenar projek ECRL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2019.

PUTRAJAYA tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) buat sementara waktu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan pagi tadi beliau sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed berhubung isu ECRL.

“Saya dinasihatkan untuk tidak keluarkan sebarang pengumuman buat seketika oleh perdana menteri,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku, hari ini.

Beliau menyatakan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas kerajaan bersedia untuk mendedahkan status sebenar projek itu.

Awal hari ini, Dr Mahathir berkata Malaysia tiada niat mengingkari kontrak dengan China tetapi ia mahu mengurangkan beban perbelanjaan yang tidak mampu ditanggung, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami dibebani dengan hutang yang sangat besar dan terpaksa mengurangkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu

“Bukannya kami tidak mahu menghormati kontrak tetapi kami tidak boleh membayar. Kontrak ini boleh menyebabkan kita kos lebih RM100 bilion dan akan memudaratkan kita.

“Oleh itu, kita berharap pihak berkenaan memahaminya.

“Kami tidak mahu menghentikan atau mengingkari kontrak tetapi kami benar-benar berdepan kekangan dari segi kewangan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan di Putrajaya pagi ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan mengesahkan sama ada ECRL dibatalkan.

“Kadang-kala, para menteri membuat pengumuman sebelum ia tiba masanya. Saya mengakui beberapa kesilapan dibuat dan kita akan membetulkannya,” kata Dr Mahathir. – 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen