Manogaran minta maaf pakai baju tertera logo Pakatan


Christopher Rabin

Calon Pakatan Harapan (PH) M Manoragan berkata kesilapan berlaku ekoran beliau terburu-buru ke tempat mengundi dan tidak menyedari memakai baju mempunyai logo PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

CALON Pakatan Harapan (PH) M Manoragan mengakui kesilapannya memakai baju tertera logo gabungan itu ketika berada di pusat mengundi pagi tadi.

Manoragan berkata kesilapan berlaku ekoran beliau terburu-buru ke tempat mengundi dan tidak menyedari memakai baju mempunyai logo PH.

“Ini kesilapan kecil saja kerana saya pakai baju yang sama setiap hari dan tak perasan ada logo parti,” beliau memberitahu pemberita di SK Betau di Jelai tengah hari tadi.

Tindakan Manogaran itu dikecam di media sosial hari ini ekoran gambar beliau diiringi pegawai Suruhanjaya Piligan Raya (SPR) keluar dari pusat mengundi di SK Sinderut, Jelai, tular.

Rata-rata pengguna Twitter berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu sepatutnya lebih arif mengenai udang-undang pilihan raya memandangkan ini merupakan kali ketiga beliau bertanding di Cameron Highlands.

Memakai atau memapar logo di dalam kawasan pusat mengundi adalah satu kesalahan pilihan raya.

Calon Pakatan Harapan, M Manogaran diiringi keluar dari pusat mengundi selepas didapati memakai baju yang mempunyai logo gabungan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

Apabila diingatkan bahawa ini bukan pengalaman pertama beliau sebagai calon pilihan raya, Manogaran memberitahu beliau tidak cukup tidur sepanjang dua minggu berkempen dan tidak perasan mengenai hal-hal kecil.

Manogaran menegaskan telah meninggalkan pusat mengundi dengan segera sebaik sahaja dimaklumkan oleh pegawai SPR.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PH kini mengabaikan undang-undang selepas berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan.

“Tidak, kami ikut undang-undang. Ini kesilapan saya, saya minta maaf,” katanya.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri menyelar Manogaran dan Bersih 2.0 atas insiden tersebut.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa mereka suka walaupun bantahan dan laporan polis dibuat BN sejak mula (kempen).

“Malah, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Bersih atau pun mana-mana NGO lain,” katanya, dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Manogaran berkata beliau ternampak seorang wanita memakai baju tertera logo Umno di dalam pusat mengundi, tetapi tidak dijadikan isu.

Kesilapan beliau turut menyebabkan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun menerima tempias di Twitter.

Beberapa pengguna menuduh Azhar mengambil sikap berat sebelah, menyokong PH dan memberi kelonggaran sehingga kesilapan seperti itu dilakukan oleh calon gabungan pemerintah. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen