UiTM nafi maklumat bocor akibat sistem digodam


Tahap keselamatan sistem UiTM diyakini adalah setaraf badan dan organisasi lain yang setara di Malaysia, kata Naib canselornya Profesor Emeritus Dr. Hassan Said. – Gambar Facebook, 26 Januari, 2019.

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) mengesyaki maklumat pelajarnya bocor ke Internet akibat tindakan pihak tertentu tetapi bukan disebabkan penggodaman.

Naib canselornya Profesor Emeritus Dr. Hassan Said berkata demikian bagi mengulas laporan blog lowyat.net berhubung kebocoran data peribadi lebih sejuta pelajarnya ke dalam talian.

Jelasnya, rakaman tangkapan skrin yang dipaparkan di blog berkenaan menunjukkan format yang tidak diguna pakai atau dijana daripada mana-mana sistem dalaman UiTM. 

“Ini menunjukkan maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab seterusnya mengesahkan maklumat ini adalah bukan dijana ekoran daripada penggodaman sistem UiTM.

“Oleh yang demikian UiTM terus yakin sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat, dan boleh dipercayai,” kata Hassan, dalam satu kenyataan, lewat malam tadi.

Hassan berkata, tahap keselamatan sistem UiTM diyakini adalah setaraf badan dan organisasi lain yang setara di Malaysia.

Tambahnya, UiTM menerima pensijilan Information Security Management System (ISMS) ISO 270001: 2013 daripada oleh SIRIM QAS International Bhd pada 14 Januari lalu.

“Pihak UiTM juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tidak berlaku sebarang salah laku oleh warga UiTM.

“Sekiranya didapati perkara ini berlaku, pihak UiTM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Portal lowyat.net melaporkan ia melibatkan maklumat peribadi 1.165 juta mahasiswa pelbagai tahun pengajian antara tahun 2000 dan 2018 di kampus utama Shah Alam dan 13 kampus negeri.

Kebocoran berkenaan juga dilaporkan melibatkan data mahasiswa di kolej yang mendapat tauliah UiTM termasuk Inpens, Kolej Yayasan Terengganu dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor.

Turut terlibat, pelajar Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej Uniti, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi and Institut Teknologi Perak.

Laporan itu menyatakan, butiran yang dibocorkan itu adalah kad identiti pelajar, nama pelajar, nombor Mykad, alamat rumah, alamat e-mel, kod kampus, nama kampus, kod program, peringkat pengajian dan juga nombor telefon bimbit.

Kebocoran data itu dilaporkan berlaku sekitar Februari dan Mac tahun lalu.

Lowyat.net bagaimanapun tidak menyatakan alamat laman web yang memuatkan data berkenaan. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen